Wan Azizah akan teruskan perjuangan PKR walau Anwar dipenjara

Tuesday, February 10, 2015

Wan Azizah akan teruskan perjuangan PKR walau Anwar dipenjara

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata keluarganya akan meneruskan perjuangan parti susulan keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara lima tahun terhadap suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi kesalahan meliwat, tujuh tahun lalu.

"Alhamdulillah, ini salah satu daripada perjuangan kami, mungkin sedikit pengorbanan daripada saya, anak-anak dan cucu.

"Anwar pesan (kepada saya) supaya terus tabah," katanya.

Beliau ditemui pemberita semasa keluar dari bilik bicara Mahkamah Persekutuan selepas mendengar penghakiman dan keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung kes liwat suaminya yang juga Penasihat PKR, di sini hari ini.

Dr Wan Azizah berkata beliau dan keluarganya akan meneruskan perjuangan parti walaupun mereka terpaksa berdepan dengan saat sedih dan tragik ini.

"Saya tidak kata yang kami kuat tetapi kami mendapat kekuatan daripada rakyat dan sokongan," katanya.

Anwar yang juga Ketua Pembangkang hari ini gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan terhadap sabitan kesalahan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, Kuala Lumpur, antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.
Dalam pada itu, Dr Wan Azizah berkata, Pakatan Rakyat akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat bagi menentukan masa depan parti itu dan pengganti Anwar sebagai ketua pembangkang.

Sementara itu, anak sulung Anwar, Nurul Izzah berkata keputusan mahkamah hari ini merupakan hari yang tragik bagi keluarganya.
"Ya kami rasa amat sedih ... tetapi kami pastinya akan meneruskan perjuangan kami," kata anggota Parlimen Lembah Pantai itu. - BERNAMA

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI