Waad (ikrar) perpaduan Melayu ganti 'Sumpah Melayu 1946'

Saturday, February 28, 2015

Waad (ikrar) perpaduan Melayu ganti 'Sumpah Melayu 1946'

KUALA LUMPUR 27 Feb. - Acara menandatangani 'waad' atau ikrar menjadi agenda penting Perhimpunan Perpaduan Melayu yang akan berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini malam esok.

Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Dr. Hasan Mad berkata, waad tersebut disusun dan ditulis oleh empat individu termasuk beliau pada 25 Mac 2013 dan akan ditandatangani setiap hadirin perhimpunan perpaduan berkenaan.

"Secara simbolik 57 pemimpin Melayu termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan naik ke atas pentas dan menandatangani waad ini pada malam esok.

"Kita rangka waad ini dalam Forum Negara di Dewan Negara, Parlimen dan akan mengantikan 'Sumpah Melayu 1946'. Waad ini akan dimasukkan dalam direktori perpaduan Melayu," jelas Dr. Hasan.

Dr. Hasan yang ditemui ketika meninjau persiapan terakhir perhimpunan berkenaan berkata, lebih 30,000 dijangka akan menghadiri perhimpunan berkenaan.

Jumlah itu melebihi sasaran awal penganjur iaitu kira-kira 20,000 hadirin.

"Menurut sumber yang kita terima bilangan yang hadir akan melebihi 30,000 orang berbanding sasaran awal MPM," jelas Dr. Hasan.

Perhimpunan dengan tema 'Hebat, Bermaruah, Tegas" tersebut diadakan sebagai tanda sokongan terhadap usaha mengukuhkan perpaduan umat Melayu tanpa mengira ideologi politik.

Perhimpunan itu adalah hasil inisiatif MPM dan mendapat kerjasama Universiti Teknologi Mara (UiTM); Majlis Amanah Rakyat (Mara); Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP); Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim); Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) serta Biro Tatanegara (BTN).

Sebanyak 284 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut terlibat secara langsung dalam perhimpunan berkenaan.

Dr. Hasan berkata, perhimpunan esok bermula dengan lawatan gerai-gerai pameran oleh Perdana Menteri diikuti dengan solat maghrib berjemaan dengan hadirin di dalam Stadium Putra yang dipimpin oleh Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Sheikh Ismail Muhammad.

Majlis kemudian diteruskan dengan acara doa selamat, persembahan pentas disusuli amanat Perdana Menteri mewakili pemimpin-pemimpin Melayu.

Majlis disusuli demgan penjelasan'maqasid syariah' oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), diikuti majlis menandatangani 'waad' dan akhir sekali majlis membaca mandat yang sepatutnya dilakukan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin

"Tetapi disebabkan Tan Sri Muhyiddin tidak dapat hadir kerana menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Kebangsaan di Teluk Intan, Perak maka beliau akan digantikan oleh Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi," jelas Dr. Hasan.- UTUSAN ONLINE

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI