Puak Hazda: Suku kaum yang dilupakan masa

Tuesday, February 10, 2015

Puak Hazda: Suku kaum yang dilupakan masa

Di tebing Tasik Eyasi, utara Tanzania, wujud satu puak yang terpisah daripada kemodenan dan hidup dengan cara purba-mungkin puak terakhir seumpamanya di dunia.

Mereka tidak bercucuk tanam, menternak atau membina rumah. Kehidupan mereka tidak berubah sejak lebih 10,000 tahun lalu.

Dunia mereka adalah satu gambaran kebebasan mutlak yang mungkin manusia moden kini tidak mampu bayangkan, apatah lagi merasainya. Mereka hanya berbekalkan kemahiran untuk kekal hidup.

Tiada pekerjaan, bos, jadual mahupun struktur sosial atau agama.


Tanpa undang-undang, cukai dan hidup tanpa duit perkara paling hampir dengan wang bagi mereka ialah pertukaran barangan untuk mendapatkan seluar atau sandal dengan puak yang berjiran dengan mereka.

Sekumpulan pengkaji bertemu dengan puak Haz­da itu. Mereka mengikuti kaum lelaki Hazda pergi memburu babun dalam cuaca panas terik.

Keadaan persekitaran kehidupan puak Hazda dikelilingi bahaya dengan semak berduri, ular berbisa dan singa yang sedia membaham bila-bila masa. Namun, pemburuan tetap dilakukan demi kalangsungan hidup.

Kira-kira 1,000 puak Hazda masih mendiami gua di sekitar kawasan Tasik Eyasi.

Mereka kekal tersisih dan boleh dianggap kaum yang dilupakan masa.

Mereka tidak pernah terbabit dalam konflik dan tidak pernah mengalami penyebaran wabak berjang­kit atau kebuluran. Populasi mereka tidak pernah melebihi jumlah yang mampu diberi makan melalui hasil buruan.

Makanan puak Hazda ringkas, daging termasuk burung, babun, kijang dan kerbau-yang diburu meng­gunakan panah buatan sendiri.

Bahasa pertuturan mereka dipercayai yang tertua yang masih digunakan sehingga hari ini.

Tidak seperti kehidupan kita hari ini yang dibelenggu beban kerja, puak Hazda menikmati banyak masa lapang. Mereka ha­nya memburu apabila ingin makan dan ia mangambil masa kira-kira lima jam sehari.

Sepanjang kewujudan mereka sejak ribuan tahun lalu, mereka meninggalkan lebih daripada sekadar kesan jejak.

Puak Hazda mewakili sebahagian pembentukan budaya dunia yang sudah hilang, malah mereka juga mungkin mewakili apa yang hilang daripada masyarakat hari ini.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI