Komplot guling Hadi: Hatta didakwa jadi dalang

Monday, February 09, 2015

Komplot guling Hadi: Hatta didakwa jadi dalang

Pas berdepan ancaman komplot te­rancang yang dipercayai didalangi sekumpulan pemimpin kanannya dengan matlamat untuk menjatuhkan Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan kepemimpinan ulama.

Ketua Dewan Pemuda Pas Kuantan, Fadhli Ibrahim mendakwa, komplot jahat yang digerakkan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr. Mohd. Hatta Ramli itu bertujuan menyusun dan merancang untuk menguasai Pas Pusat.

Menurut beliau, kumpulan tersebut dipercayai melakukan kerja-kerja khianat di luar batasan Islam seperti menanam kebencian dalam kalangan ahli-ahli Pas dan masyarakat terhadap Abdul Hadi serta kepemimpinan ulama.

“Mereka juga memfitnah pemimpin-pemimpin yang dilihat bersama dengan Presiden dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali serta ahli keluarga Abdul Hadi.

“Kumpulan berkenaan turut menubuhkan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) serta menyusun strategi untuk memecah­belahkan kesatuan dalam kalangan ahli Pas serta melakukan peranca­ngan bagi menjatuhkan Abdul Hadi dan kepemimpinan ulama,” katanya dalam sidang akhbar di hadapan Pejabat Agung Pas, di sini hari ini.

Fadhli seterusnya menyerahkan memorandum mendesak pe­mimpin-pemimpin terbabit untuk meletakkan semua jawatan dalam parti kepada wakil Pas Pusat.

Beliau turut mengedarkan bukti-bukti bagi menyokong dakwaannya itu termasuk salinan akuan berkanun dan cetakan skrin perbincangan kumpulan yang terlibat dalam komplot itu menerusi aplikasi WhatsApp.

Ketua Dewan Ulama Pas Pahang, Mokhtar Senik mengetuai bacaan doa selepas sidang akhbar bagi memohon kepada Allah SWT supaya melindungi parti itu serta Abdul Hadi dan golongan ulama daripada ancaman komplot dan pengkhianatan sama ada dari dalam atau luar Pas.

Lebih 300 ahli Pas yang menyokong kepemimpinan Abdul Hadi dan golongan ulama berhimpun di lokasi tersebut sambil me­maparkan sepanduk untuk mendesak pemimpin-pemimpin parti yang didakwa terlibat dalam komplot supaya meletakkan jawatan.

Fadhli yang juga Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Pahang menambah, dalang-dalang komplot berkenaan didakwa mensabotaj setiap keputusan yang dibuat oleh Abdul Hadi dan Majlis Syura Ulama Pas yang dilihat tidak selari dengan kehendak pihak tertentu dalam pakatan pembangkang.

Yang lebih membimbangkan, kata beliau, keputusan-keputusan yang dibuat Pas didalangi oleh anasir-anasir luar melalui komplot jahat yang digerakkan kumpulan terbabit.

“Kebimbangan ini adalah berdasarkan kepada bukti yang kami peroleh bahawa komplot ini me­nguasai lebih separuh daripada Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat,” ujarnya.

Fadhli mendakwa, mereka berupaya mensabotaj dan mencaturkan keputusan parti sehingga menjadikan Abdul Hadi kelihatan seperti boneka.

“Sehubungan itu, kami mendesak mereka yang terlibat dengan komplot jahat ini meletakkan semua jawatan dalam parti,” katanya.

Beliau menambah, lebih banyak pendedahan akan dibuat sekiranya pemimpin-pemimpin Pas terbabit tidak meletak jawatan.

Sementara itu, Mohd. Hatta berkata, tuduhan Fadhli adalah tidak berasas dan beliau tidak berminat untuk memperbesarkannya kerana perkara sedemikian dianggap lumrah dalam parti.

“Saya sudah tengok memorandum itu, yang gambar perbualan tersebut saya tengok bukan cetakan skrin tetapi gambar yang dirakam (snapshot),” jelasnya kepada pemberita selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI