Indeks Syariah Malaysia dilancar

Tuesday, February 10, 2015

Indeks Syariah Malaysia dilancar

Datuk Seri Najib Tun Razak akan melancarkan Indeks Syariah Malaysia sempena Majlis Perdana Ulama Umara 2015 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini esok.

Indeks kajian tersebut yang dibangunkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Yayasan Dakwah Islam Malaysia (Yadim) bertujuan mengukur dan menilai pencapaian Malaysia dalam melaksanakan tuntutan syarak berdasarkan kepada lima 'maqasid syariah'.

Lima maqasid syariah itu ialah memelihara agama, akal, nyawa, keturunan dan harta.

Menerusi pelaksanaan indeks tersebut, Malaysia akan menjadi negara pertama di dunia yang mewujudkan indeks syariah secara komprehensif bagi mengukur secara saintifik dari empat sudut iaitu ketepatan syariah di Malaysia, kepatuhan prinsip urus tadbir dalam membuat keputusan dasar negara, mengukur pencapaian prestasi berasaskan piawaian terbaik dan mengenal pasti ruang penambahbaikan amalan serta dasar kerajaan.

Perdana Menteri sebelum ini berkata, program yang dibangunkan itu juga bertujuan mengukur tahap keseriusan usaha Malaysia dalam mengimarahkan prinsip, nilai dan sistem Islam merentasi pelbagai sektor.

Menurutnya, penggunaan indeks itu juga dapat menjawab banyak persoalan dan polemik berhubung beberapa perkara mengenai negara ini antaranya merungkai persoalan sama ada Malaysia merupakan negara Islam atau sebaliknya.~ Utusan

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI