Beza cukai perkhidmatan dan caj perkhidmatan

Friday, February 06, 2015

Beza cukai perkhidmatan dan caj perkhidmatan

Caj perkhidmatan yang dibayar oleh pengguna selama ini bukan cukai kerajaan, sebaliknya caj yang dikenakan oleh perniagaan, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chua Tee Yong.

Sehubungan itu katanya pengguna berkemungkinan tetap dikenakan caj tersebut apabila Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dikuat kuasa 1 April ini.

Menurut Tee Yong pada masa ini perniagaan restoran misalnya mengenakan kedua-dua cukai perkhidmatan dan caj perkhidmatan.
   
"Cukai perkhidmatan ini akan diganti dengan GST namun caj perkhidmatan tetap ada," katanya kepada pemberita selepas perbincangan meja bulat mengenai CBP antara  Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia, di sini hari ini.
   
"Caj perkhidmatan bukan pendapatan kerajaan. Ia dicaj oleh perniagaan. Syarikat mungkin masih mengenakan caj ini selepas pelaksanaan CBP," katanya yang diminta mengulas mengenai tanggapan salah bahawa caj perkhidmatan merupakan satu bentuk cukai dan dikenakan oleh kerajaan.   
   
Sementara itu, Tee Yong memberi jaminan kerajaan tidak akan mengenakan penalti kepada syarikat yang melakukan kesilapan yang tidak disengajakan dalam tempoh dua tahun pertama pelaksanaan GST.

Katanya antara kesilapan itu ialah perhitungan kurang tepat berikutan masalah perisian.
   
"Buat permulaan kerajaan tidak akan mengenakan denda, malah audit yang akan dilakukan pihak kastam adalah bertujuan untuk memberi nasihat dan panduan," katanya.
   
Menurutnya audit itu akan diadakan sepanjang tempoh dua tahun pertama pelaksanaan GST. - Bernama

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI