`Tuhan lebih sayang daddy'- anak ketua pramugara pesawat MH370, Andrew Nari

Tuesday, March 25, 2014

`Tuhan lebih sayang daddy'- anak ketua pramugara pesawat MH370, Andrew Nari

`Tuhan lebih sayangkanmu daddy... Tuhan lebih sayangkan mereka.' Itu antara reaksi Maira Elizabeth Nari, 18, anak ketua pramugara pesawat MH370, Andrew Peter Nari, selepas mengetahui berita sedih mengenai nasib pesawat itu malam tadi.

Luahan menyayat hati itu ditulis dalam twitternya, beberapa minit selepas pengumuman oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang disiarkan secara langsung ke seluruh dunia dari Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini jam 10 malam tadi.

Dalam entri sebelum itu, Maira yang belum mengambil keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana mahu menunggu kepulangan ayahnya menulis `Saya tidak tahu apa yang harus dikatakan mengenainya' (I just don't know what to say about it..')

Paling menyedihkan dalam tempoh sejam, sejumlah 13,400 pengguna laman sosial itu berkongsi kedukaan Maira serta keluarganya, selain mereka memberi semangat kepadanya bagi menghadapi berita yang diumumkan itu selain mengucapkan takziah.

Pengguna twitter yang dikenali sebagai Aina Liza, menyatakan `Tabahkan dirimu ya... takziah untuk kamu dan keluarga kamu, salam peluk'.

Kapten Kahan pula dalam twitter balasnya menyatakan kepada Maira, `Anda seorang yang baik dan dibesarkan dengan penuh kasih sayang, takziah kepada kamu dan keluarga, terus tabah.'

Sementara itu, seorang lagi rakan laman sosialnya, Ben T Mokhtar, menyatakan 'Saya dan adik beradik saya di Johor sentiasa mendoakan kesejahteraan anda dan keluarga dan sangat memahami situasi apabila kita kehilangan orang yang paling disayangi... kami pernah merasai keperitan anda sekarang... tabahkan diri ye dik.

Difahamkan sebelum pengumuman itu, Maira dan keluarga dimaklumkan lebih awal mengenai kemungkinan pesawat B777-200 terhempas di Lautan Hindi, di kawasan koridor selatan oleh Penerbangan Malaysia (MAS).

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI