Operasi mencari MH370 masuki era baru, semakin rumit

Monday, March 17, 2014

Operasi mencari MH370 masuki era baru, semakin rumit

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat MH370 yang hilang sembilan hari lalu kini menjadi lebih sukar dengan peluasan kawasan pencarian dan pertambahan negara yang terlibat di dalam operasi tersebut.

Menurut Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, negara yang terlibat di dalam operasi itu telah bertambah kepada 25 negara dan melangkau 11 sempadan negara.

"Operasi pencarian semakin sukar kerana ia membabitkan dua koridor laluan. Walau bagaimanapun, kami masih komited dalam mencari pesawat berkenaan," kata Hishamuddin pada sidang akhbar di sini hari ini.


Sementara itu, Kementerian Pengangkutan dalam satu kenyataan hari ini berkata, kerajaan sedang berunding dengan beberapa buah negara mengenai bentuk bantuan yang diperlukan dalam operasi SAR pesawat MH370 yang sudah masuk hari kesembilan.

Kenyataan tersebut turut berkata, bentuk bantuan yang diperlukan bukan sahaja terdiri daripada aset laut dan udara tetapi termasuk data satelit berserta analisis, data radar dan kepakaran pencarian darat.

Negara-negara tersebut ialah Kazakhstan, Uzbekistan, Kyrgystan, Turkmenistan, Pakistan, Bangladesh, India, China, Myanmar, Laos, Vietnam, Thailand, Indonesia, Australia dan Perancis.

Pada 8 Mac lalu, pesawat Penerbangan Malaysia (MAS), MH370 dilaporkan hilang selepas terputus hubungan dari menara kawalan udara (ATC) Subang.

Selepas lapan hari operasi SAR, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendedahkan pesawat yang membawa 239 penumpang termasuk 12 anak kapal itu telah diubah haluan oleh seseorang di dalam pesawat berkenaan. - UTUSAN ONLINE

~ UTUSAN   

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI