Media asing burukkan imej negara, kata Panglima Angkatan Tentera

Monday, March 31, 2014


Panglima Angkatan Tentera kesal dengan laporan sesetengah media asing mengenai kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 yang dilihat seolah-olah mempunyai agenda memburukkan imej negara.

Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata terdapat beberapa laporan media asing yang tidak benar, dan ada yang keterlaluan dan tidak mengambil kira keadaan sebenar serta kekangan yang dihadapi pihak berkuasa Malaysia dalam menyampaikan maklumat mengenai kejadian itu.

"Kita dituduh lewat menyampaikan maklumat sedangkan setiap maklumat yang kita terima perlu dikoroborasikan (dengan pelbagai pihak berkuasa negara dan luar negara), sebelum mengambil sebarang tindakan (mengenai maklumat yang akan disampaikan).

"Hanya dalam keadaan tertentu sahaja, kita (ATM) perlu mengambil tindakan atau respon kepada maklumat berkenaan secara bersendirian," katanya kepada pemberita selepas menutup Eksesais Pahlawan siri 15 2014 di sini, Isnin.

Beliau berkata selain itu tidak semua maklumat dapat didedahkan kepada umum kerana implikasinya terhadap penyiasatan.

Zulkifeli berkata: "Kemungkinan mereka (media asing) mempunyai agenda tertentu sehingga kita dikecam sebegitu hebat."

Malaysia telah melakukan respon yang diperlukan, termasuk penyampaian maklumat, berdasarkan peraturan-peraturan dan panduan yang telah ditetapkan, katanya.

"Kita telah melakukan segalanya termasuk menggembleng segala sumber termasuk sumber dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Segala maklumat mengenai kejadian dan tindakan yang diambil untuk cari dan menyelamat telah kita dedahkan semampu yang mungkin," katanya. -- Bernama

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI