Lelaki mati disembelih di dapur

Wednesday, March 05, 2014

Seorang lelaki warga emas ditemui mati dalam keadaan mengerikan apabila lehernya disembelih dipercayai menggunakan pisau sebelum dibiarkan mati di lantai dapur rumahnya di Persiaran Rapat Baru, Taman Song Choon, di sini, pagi semalam.

Mangsa, Chan Yan Choi, 70, yang tinggal bersendirian di rumah itu ditemui oleh menantu wanitanya yang melawat mangsa pada jam 7.55 pagi semalam.

Ketika ditemui, mangsa didapati dalam keadaan terbaring di atas lantai dengan hanya memakai seluar pendek tanpa berbaju.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 8.15 pagi.

Menurutnya, sejurus selepas menerima laporan itu, sepasukan polis segera ke lokasi kejadian sebelum menemui mayat mangsa dikelar mati pada bahagian leher.

"Siasatan awal mendapati pagar dan pintu utama rumah mangsa sudah terbuka ketika menantunya tiba di perkarangan rumah itu pagi tadi (semalam). Wanita itu cuba memanggil mangsa dengan membunyikan hon kereta namun tiada jawapan.

"Menantu mangsa kemudian masuk ke dalam rumah sebelum terkejut apabila melihat mangsa terbaring di atas lantai dapur. Dia kemudian meminta bantuan daripada jiran berhampiran untuk menghubungi polis," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, semalam.

Sum berkata, hasil pemeriksaan awal, polis tidak menemui sebarang senjata yang digunakan untuk membunuh mangsa, malah tiada kesan pecah masuk atau pergelutan di rumah itu.

"Hanya dompet mangsa saja dipercayai hilang dan keadaan di dalam rumah dan bilik tidur mangsa juga tidak berselerak. Lebih aneh apabila sejumlah wang tunai di dalam rumah mangsa tidak diusik.

"Polis masih menyiasat kes ini bagi mengenal pasti suspek yang terbabit dan motif sebenar pembunuhan.

Saya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menyalurkannya kepada polis," katanya.

Menurutnya, polis percaya mangsa baru saja dibunuh sebelum ditemui berikutan kesan darah yang masih baru.

"Pembunuhan itu mungkin dilakukan individu yang dikenali mangsa kerana tiada kesan pecah rumah dan pergelutan," katanya.

Sementara itu, seorang jiran mangsa yang enggan namanya didedahkan berkata, dia tidak mendengar sebarang bunyi mencurigakan ketika keluar dari rumah untuk ke pasar jam 7 pagi semalam.

"Kebiasaannya, dia selalu bangun dan keluar rumah dengan menaiki motosikal seawal jam 6 pagi untuk bersarapan, tetapi pada pagi tadi (semalam), saya tidak mendengarnya keluar rumah. Saya tidak sangka dia sudah dibunuh dengan kejam," katanya.

~ HM

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI