Keputusan STPM 2013: 53,422 lulus peperiksaan

Wednesday, March 19, 2014

STPM 2013: 53,422 lulus peperiksaan

Sejumlah 53,422 atau 96.75 peratus calon lulus penuh satu hingga lima mata pelajaran dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2013 berbanding 47,910 (92.67 peratus) pada tahun sebelumnya.

Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) Profesor Datuk Dr Mohd Noh Dalimin berkata daripada jumlah itu, sebanyak 1,898 (3.44 peratus) calon lulus penuh lima mata pelajaran; 9,717 (17.60 peratus) calon lulus penuh tiga mata pelajaran; 5,234 (9.48 peratus) calon lulus dua mata pelajaran dan 3,810 (6.90 peratus) calon lulus penuh satu mata pelajaran.

"Calon yang mendapat lulus penuh dalam lima dan empat mata pelajaran meningkat sebanyak 10,155 calon daripada 24,506 (47.40 peratus) calon pada 2012 kepada 34,661 (62.78 peratus) calon pada 2013," katanya ketika mengumumkan keputusan STPM 2013 hari ini.

Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia itu berkata prestasi calon STPM 2013 pada umumnya lebih baik berbanding tahun lepas meskipun menggunakan format berbeza mengikut sistem pentaksiran baharu yang turut dibincang bersama wakil dari Cambridge Assesment, United Kingdom.

Beliau berkata Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) Negara pada tahun ini, yang dihitung berdasarkan nilai gred mata pelajaran bagi empat mata pelajaran terbaik termasuk Pengajian Am, juga meningkat kepada 2.55 daripada 2.24 pada STPM 2012.

"Sebanyak 492 (0.89 peratus) calon mendapat PNGK 4.00 berbanding 442 (0.86 peratus) calon pada tahun 2012, iaitu peningkatan sebanyak 50 calon di mana 273 daripadanya adalah calon aliran sastera dan 219 calon daripada aliran sains," katanya.

Mohd Noh berkata jumlah calon yang mendapat Gred A dalam semua mata pelajaran yang diambil pada STPM 2013 meningkat kepada 497 calon berbanding 450 calon tahun lepas, bagaimanapun, calon yang berjaya memperoleh 5A dalam semua mata pelajaran ialah lapan berbanding 18 pada tahun sebelumnya.

Peningkatan juga berlaku dalam jumlah calon sekolah kerajaan yang mendapat lulus penuh dalam lima dan empat mata pelajaran iaitu daripada 23,698 (49.65 peratus) pada tahun 2012 kepada 34,318 (63.21 peratus) calon pada 2013.

Daripada 23 mata pelajaran yang ditawar, prestari 10 mata pelajaran meningkat melebihi 10 peratus berbanding STPM 2012 iaitu Kesusasteraan Melayu Komunikatif (19.87 peratus), Usuluddin (18.53 peratus), Sains Sukan (17.45 peratus), Pengajian Perniagaan (16.87 peratus), Bahasa Arab (16.89 peratus), Sejarah (15.69 peratus), Matematik (M) (15.27 peratus), Perakaunan (13.32 peratus), Syariah (12.36 peratus) dan Bahasa Melayu (12.04 peratus).

Sementara itu, prestasi dua mata pelajaran dianggap tidak berubah di mana Literature in English mencatat +1.04 peratus dan Physics sebanyak -0.59 peratus berbanding STPM 2012, iaitu perbezaan antara -2.00 peratus dan 2.00 peratus.

Hanya satu mata pelajaran turun prestasinya iaitu Matemetik Lanjutan yang mendapat peratusan -28.57 peratus di mana calon yang hadir menduduki peperiksaan hanyalah tujuh daripada 11 orang yang mendaftar.

Selain itu, Mohd Noh berkata jurang prestasi calon bandar dan luar bandar masih ketara di mana prestasi calon bandar jauh lebih baik daripada luar bandar.

"Bilangan calon bandar yang mendapat 5A, 4A dan 3A adalah sebanyak 1,189 (12.02 peratus) berbanding hanya 156 (1.58 peratus) calon luar bandar. 

"Calon aliran sains yang mendapat 5A, 4A dan 3A pula adalah sebanyak 473 (17.23 peratus) berbanding 14 (0.51 peratus) luar bandar manakala calon bandar aliran sastera yang mendapat keputusan sama adalah sebanyak 716 (10.02 peratus) calon berbanding hanya 142 (1.99 peratus) calon luar bandar," katanya.

STPM 2013 menyaksikan daripada 58,402 calon mendaftar, sejumlah 55,214 calon (94.54 peratus) hadir menduduki peperiksaan berbanding 51,697 (94.61 peratus) calon yang hadir pada tahun 2012.

Mengulas keputusan prestasi 72,101 calon Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET) sesi November 2013 yang dikeluarkan pada 8 Januari 2014 pula menyaksikan sebanyak 33.15 peratus calon mendapat Band 3 atau lebih baik berbanding 28.52 peratus pada MUET sesi Julai 2013.

Di SEREMBAN, sejumlah 20 pelajar cemerlang iaitu 1.14 peratus calon di Negeri Sembilan memperoleh PNGK 4.00 dalam STPM 2013.

Pengarah Pendidikan negeri Datuk Kalsom Khalid berkata mereka terdiri daripada lima orang calon jurusan sains manakala selebihnya (15) orang calon jurusan sastera.

Di KUALA TERENGGANU, sejumlah tujuh daripada 3,002 calon di Terengganu memperoleh keputusan empat prinsipal dalam semua mata pelajaran yang diambil.

Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri Hashim Mohd Zin berkata secara keseluruhan, pencapaian STPM 2013 merupakan keputusan yang cemerlang berbanding pada 2012.

"Dari segi lulus penuh empat mata pelajaran juga turut meningkat sebanyak 17.07 peratus berbanding tahun lepas apabila sejumlah 1,757 calon lulus penuh empat mata pelajaran berbanding tahun lepas hanya 1,236 menjadikan peratus lulus empat mata pelajaran tahun ini sebanyak 58.53 peratus," katanya kepada pemberita di sini.

Di MELAKA, Pengarah Pendidikan negeri Md Rashid Hussin berkata sejumlah 940 calon atau 61.56 peratus memperoleh keputusan empat prinsipal, menyaksikan peningkatan sebanyak 9.5 peratus berbanding 52.06 peratus pada 2012.

Beliau berkata 1,505 calon mencatat keputusan lulus penuh tahun lepas berbanding 1,198 orang pada 2012, meningkat sebanyak 1.87 peratus.

Di KUANTAN, Pengarah Pendidikan Pahang, Rosdi Ismail berkata sejumlah 2,893 calon atau 97.97 peratus memperoleh kelulusan penuh iaitu mendapat sekurang-kurangnya satu mata pelajaran lulus penuh.

Di PULAU PINANG, sejumlah 61 daripada 3,208 calon STPM memperoleh keputusan cemerlang PNGK 4.0.

Pengarah Pelajaran Pulau Pinang Datuk Ahmad Tarmizi Kamaruddin berkata pencapaian itu merupakan peningkatan sebanyak 0.06 peratus berbanding tahun sebelumnya, yang menyaksikan 42 calon memperoleh PNGK 4.0.

"Sebanyak 14 sekolah di negeri ini berjaya mencapai kelulusan 100 peratus selepas semua pelajar yang mengambil STPM memperoleh keputusan lulus dalam semua subjek," katanya dalam sidang akhbar berhubung keputusan STPM 2013 hari ini.

Di KOTA BAHARU, sebanyak 23 sekolah mencatat kelulusan 100 peratus dengan 15 calon dipilih sebagai pelajar terbaik STPM 2013 berbanding hanya empat pada 2012.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Hussain Awang berkata pelajar terbabit memperoleh A dalam semua mata pelajaran yang diambil selain mencatat PNGK 4.0.

Di IPOH, sejumlah 69 daripada 5,276 calon memperoleh A dalam semua mata pelajaran yang diambil selain mencatat PNGK 4.0.

Pemangku Pengarah Pelajaran negeri Mohd Idris Mohd Ramli berkata pencapaian itu menyaksikan peningkatan sebanyak 0.09 peratus berbanding tahun sebelumnya dengan 51 calon.

Di JOHOR BAHARU, Timbalan Pengarah Pendidikan Johor Hasidin Zaini berkata sejumlah 70 calon di negeri itu memperoleh PNGK 4.00 dalam peperiksaan STPM 2013 iaitu 38 calon aliran sains dan 32 calon aliran sastera.

Di KANGAR, Pengarah Pendidikan negeri Dun Kasa berkata pencapaian peperiksaan STPM 2013 di Perlis meningkat berbanding tahun 2012.

Beliau berkata dari segi peratusan, Perlis mencatat 96.71 peratus atau 618 calon lulus sekurang-kurangnya satu Prinsipal iaitu peningkatan 0.89 peratus berbanding 95.82 peratus pada tahun sebelumnya.

Di ALOR SETAR, peratus calon yang lulus penuh ialah sebanyak 98.22 peratus atau 3,983 calon berbanding 3,431 calon atau 93.79 peratus pada 2012.

Pengarah Pelajaran negeri Datuk Mansor Lat berkata sebanyak 33 sekolah mencapai keputusan 100 peratus lulus penuh termasuk 17 dalam kategori luar bandar.

Di KUCHING, Sejumlah 39 daripada 6,142 calon sekolah kerajaan di Sarawak memperoleh keputusan cemerlang PNGK 4.0, menyaksikan peningkatan berbanding 20 orang pada 2012.

Pengarah Pendidikan negeri Datuk Abdillah Adam berkata sejumlah 1,360 calon memperoleh PNGK 3.00 ke atas berbanding 981 orang pada 2012.

Di SABAH, sebanyak 35 sekolah mencapai kelulusan 100 peratus dengan 15 pelajar memperoleh PNGK 4.00.

Pengarah Pendidikan Negeri Datuk Jame Alip berkata 7,213 daripada 7,515 calon yang menduduki STPM 2013 (atau 95.98 peratus) memperoleh kelulusan penuh berbanding 89.44 peratus pada tahun sebelumnya.

Sementara itu, di LABUAN, keputusan STPM 2013 menunjukkan peningkatan 10.73 peratus dengan 96.64 peratus pelajar lulus penuh berbanding 85.71 peratus pada tahun sebelumnya.

Pengarah Pendidikan Labuan Mistirine Radin berkata daripada 119 calon yang menduduki peperiksaan itu, sejumlah 115 orang lulus penuh berbanding 84 pelajar yang direkod pada 2012.

Sementara itu, di SELANGOR, Pengarah Pendidikan Negeri Datuk Mahmud Karim berkata sebanyak 96.53 peratus daripada sejumlah 5,749 calon memperoleh kelulusan penuh bagi semua mata pelajaran yang diambil dalam peperiksaan STPM tahun lepas.

Beliau berkata keputusan itu meningkat 1.68 peratus daripada 94.85 peratus pada 2012 dengan 99 calon mendapat keputusan cemerlang lima Prinsipal.

"Bagi keputusan STPM kali ini, seorang calon memperoleh keputusan cemerlang semua A bagi lima mata pelajaran manakala 59 calon pula mendapat semua A bagi empat mata pelajaran dengan Purata Nilai Gred Keseluruhan 4.0," katanya kepada Bernama hari ini.

Mahmud berkata gred purata negeri bagi keputusan STPM kali ini juga meningkat kepada 2.52 mata berbanding 2.35 pada 2012.

Katanya, lima sekolah yang dinobat sekolah terbaik STPM 2013 ialah Kolej Islam Sultan Alam Shah; Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Katolik, Petaling Jaya; SMJK Yoke Kuan, Sekinchan; SMK Kepong dan SMK Batu 8, Puchong. - Bernama

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI