Datuk Nicol David kalah mengejut kepada pemain Mesir (Kejohanan Skuasy Wanita Dunia CIMB ke-29)

Saturday, March 22, 2014

Datuk Nicol David kalah mengejut kepada pemain Mesir

Pemain nombor satu dunia Datuk Nicol Ann David tidak berjaya dalam misi memburu kejuaraan dunia kelapan di halaman sendiri apabila gagal mara ke final Kejohanan Skuasy Wanita Dunia CIMB ke-29 di sini hari ini.

Pada perlawanan separuh akhir di Arena SPICE di sini, Nicol mengalami kekalahan mengejut kepada pemain bukan pilihan dari Mesir, Nour El Sherbini 3-2 pada pertarungan selama 61 minit.

Pemain kelahiran Pulau Pinang berusia 30 tahun itu bagaimanapun membuka saingan dengan langkah kanan apabila menang 11-4 pada set pertama sebelum lawannya bangkit untuk menang dua set berikutnya 11-9, 11-6.

Nicol kembali semula dengan mengatasi Nour 11-2 pada set keempat sebelum pemain Mesir itu memberi tentangan sengit pada set terakhir sebelum menempah slot final dengan keputusan 11-9.

"Tumpuan saya tidak konsisten hari ini. Saya sentiasa mahu melakukan yang terbaik di hadapan penyokong saya tetapi hari ini bukan harinya.

"Nour tidak melakukan sebarang kesilapan dan pukulannya tepat," kata Nicol yang ternyata kecewa dengan keputusan tersebut.

"Pada ketika ini, saya perlu membuat lebih banyak penilaian..Tidak ada apa-apa yang menghalang saya kerana ini hanya permulaan tahun...sudah pasti saya banyak belajar daripada perlawanan ini," katanya yang menjuarai kejohanan itu sebanyak tujuh kali bermula pada 2005, 2006, 2008, 2009, 2010, 2011 dan 2012.

Dalam pada itu, Nour akan berdepan dengan pemain nombor dua dunia, Laura Massaro dari England pada final esok.

"Harap saya dapat bermain dengan lebih baik daripada hari ini pada final esok. Saya betul-betul mahu melakukan yang terbaik dan tidak menjangka untuk memenangi perlawanan ini," kata Nour.

"Saya memohon maaf kepada penonton yang mahu melihat Nicol mara ke final," katanya.

Dalam pada itu, Massaro menempah slot final selepas mengecewakan seorang lagi pemain Mesir, Raneem El Weleily dengan keputusan 11-9, 11-7, 6-11 dan 11-7 dalam masa 48 minit.
~ awani

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI