Anugerah Lagu Patriotik Johor 2014

Friday, March 07, 2014

Anugerah Lagu Patriotik Johor 2014

Kerajaan negeri dengan kerjasama Yayasan Warisan Johor (YWJ) bersama Unit Media dan Komunikasi Pejabat Menteri Besar Johor akan menganjurkan Anugerah Lagu Patriotik Johor 2014 bertujuan memupuk semangat cintakan negara dalam kalangan rakyat.

Anugerah bertemakan Muafakat Johor yang julung kali diadakan itu terbahagi kepada tiga kategori iaitu mencipta lagu patriotik, koir lagu patriotik dan kugiran lagu patriotik.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Johor Datuk Zulkurnain Kamisan berkata, kerajaan negeri menyambut baik penganjuran pertandingan itu kerana ia dapat menjadi medium menyatupadukan masyarakat selain memupuk semangat cintakan negara.

"Lagu patriotik wujud seawal era kemerdekaan lagi, menerusi penciptaan lagu berunsurkan patriotik ia diyakini kita mencungkil bakat dan kreativiti.

"Usaha memupuk semangat mencipta lagu patriotik perlu dilakukan dari peringkat awal ke arah melahirkan generasi cintakan bangsa dan negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Pelancaran Anugerah Lagu Patriotik Johor di Muzium Tokoh, Jalan Yahya Al-Dattar di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah YWJ Muhamad Fuad Radzuan.

Pada masa sama, Zulkurnain menggesa lebih banyak pihak tampil untuk menganjurkan program berunsur patriotik pada masa akan datang.

"Kami akan menganjurkan forum berkaitan semangat patriotik dan mengundang tokoh akademik serta masyarakat dari pelbagai bangsa yang pernah memperjuangkan kemerdekaan satu ketika dulu.

"Penganjuran program itu bukan saja dapat memupuk semangat patriotik, malah mengeratkan perpaduan antara kaum," katanya ketika ditemui.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI