PruBSN perkenal dua aplikasi baru

Thursday, February 20, 2014

PruBSN perkenal dua aplikasi baharu

Prudential BSN Takaful Bhd (PruBSN) memperkenalkan penyelesaian jualan automatik tablet, PruBSN Mobility dan aplikasi mudah alih, PruBSN Navigator bagi kemudahan pengedar serta pelanggannya.

PruBSN Mobility ialah aplikasi tablet sehenti yang direka bentuk untuk pengedar PruBSN dan mula diperkenalkan kepada kumpulan tertentu pada Disember tahun lalu.

Penyelesaian itu direka bentuk untuk peralatan dan berfungsi bagi iOS dan Android.

PruBSN berkata, penyelesaian jualan itu menawarkan pengalaman baharu untuk pelanggan, sambil menyediakan kemudahan serta keupayaan fleksibel kepada ejen serta pengedarnya.

Katanya, aplikasi itu membolehkan mereka menyelesaikan penghantaran jualan dalam cara mudah, cekap dan tepat, sekali gus memudahkan ejen serta perantara lain mempromosikan produk serta perkhidmatan syarikat kepada lebih ramai orang.

Jimat masa isi borang

"Bagi pelanggan pula, mereka tidak perlu lagi menghabiskan masa mengisi borang, selain memainkan peranan dalam mengurangkan pelepasan karbon tanpa kehadiran dokumen fizikal," katanya dalam kenyataan, semalam.

Aplikasi baharu itu adalah perkakasan sangat automasi yang membolehkan pengedar menawarkan penyelesaian takaful PruBSN pada bila-bila masa dan di mana saja.

Ketua Eksekutif PruBSN, Azim Mithani, berkata PruBSN Mobility adalah contoh bagaimana syarikat menggunakan teknologi yang secara tulen menempatkan pelanggan di tempat pertama bagi segala-galanya, sambil menggandakan impak perniagaan kumpulan merangkumi pelbagai aspek.

Selain menjadikan perniagaan lebih cekap, katanya fungsi automasi itu juga akan mengurangkan kesan alam sekitar kerana syarikat mengurangkan kebergantungan terhadap kertas.

"Aplikasi ini adalah perkakas berkuasa yang secara asasnya akan mentransformasi dan memudahkan cara perniagaan dilaksanakan, namun paling mustahak ialah menyediakan perkhidmatan yang berhak diperoleh pelanggan," katanya.

Sementara itu, PruBSN Navigator ialah aplikasi telefon pintar yang menyediakan maklumat mengenai rangkaian hospital panel syarikat dan perkhidmatan berkaitan seperti maklumat telefon hospital, pengkhususan, kemudahan disediakan, doktor serta anggaran kadar bilik.

Fungsi GPS

Sebagai perkhidmatan nilai tambah kepada ramai, ia juga menggunakan fungsi GPS telefon pintar untuk memandu pengguna ke hospital pilihan masing-masing, serta dilengkapi peringatan kalendar untuk mengingatkan pengguna.

Fungsi satu sentuh akan membolehkan pengguna membuat panggilan terus ke hospital dan ia berguna ketika berlaku kecemasan.

PruBSN Navigator disediakan percuma kepada orang ramai dan boleh dimuat turun melalui App Store dan Google Play.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI