Pelajar mangsa buli siber

Wednesday, February 26, 2014

Pelajar mangsa buli siber

Sikap keterbukaan pengguna laman sosial yang berkongsi kata laluan antara faktor menyebabkan peningkatan jumlah pelajar sekolah menjadi mangsa buli siber.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah berkata, berdasarkan kajian oleh CyberSecurity Malaysia, Kementerian Pendidikan dan DiGi Telecommunications Sdn Bhd tahun lalu membabitkan 9,651 pelajar dari 459 sekolah rendah dan menengah seluruh negara mendapati 13 peratus atau 1,255 pelajar menjadi mangsa buli siber.

"Selain itu, 26 peratus atau 2,509 pelajar mengaku pernah menjadi mangsa buli siber yang menunjukkan gejala ini semakin meningkat dan serius. Situasi itu disokong dengan bertambahnya insiden keselamatan siber yang dilaporkan oleh pengguna Internet melalui Pusat Bantuan Cyber999.

"Pada 2012 sebanyak 250 kes buli siber dilaporkan namun jumlah itu meningkat sebanyak 55.6 peratus pada 2013 dengan 389 kes. Rata-ratanya masalah ini disebabkan sikap mangsa yang terlalu terbuka terutamanya membabitkan penggunaan laman sosial dengan berkongsi kata laluan," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutup Safer Internet Day 2014 dan Pelancaran Buku Panduan Keselamatan Siber di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Tanjong, Tanjong Kling dekat sini, kelmarin.

Turut hadir, Pengerusi CyberSecurity Malaysia Tan Sri Jeneral (B) Mohd Azumi Mohamed dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr Amirudin Abdul Wahab.

Abu Bakar berkata, disebabkan peningkatan kes itu, pihak CyberSecurity Malaysia mengambil langkah proaktif bagi melaksanakan kempen membanteras gejala buli siber dalam kalangan pelajar.

"Pada tahun ini, mereka menyasarkan lebih 20,000 pelajar di seluruh negara akan menyertai kempen ini yang mana mampu membantu memberi kesedaran kepada mereka supaya tidak menjadi pembuli siber atau mendedahkan diri kepada ruang untuk menjadi mangsa buli siber.

"Saya berharap dengan kempen dan program dilakukan ini akan membantu orang ramai supaya lebih berhati-hati kerana disebabkan kecuaian mereka itu secara tidak langsung mengakibatkan individu tidak bertanggungjawab menyalahgunakan maklumat diketahui bagi menjatuhkan maruah mangsa dan sebagainya," katanya ~HM

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI