KWSP catat rekod bayaran dividen tertinggi

Monday, February 17, 2014

KWSP catat rekod bayaran dividen tertinggi

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengisytiharkan kadar dividen 6.35 peratus untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2013, bayaran dividen paling tinggi pernah dicatatkan dengan peruntukan sebanyak RM31.20 bilion kepada ahli nya, meningkat 13.66 peratus daripada RM27.45 bilion pada 2012.

Pengerusinya, Tan Sri Samsudin Osman berkata, dengan strategi pelaburan berhemah dan mantap, prestasi KWSP adalah konsisten dan stabil, terutamanya untuk lima tahun sebelumnya.

Katanya, sejak tahun kebelakangan ini, KWSP sudah mempelbagaikan portfolio dengan memperluaskan skop aset pelaburan bagi menguruskan risiko pasaran dan menjana pulangan yang konsisten.

"Prestasi pelaburan ini membolehkan KWSP memperoleh 6.97 peratus pulangan pelaburan tahunan (ROI), meningkat 10 mata asas daripada 2012. Ini adalah manifestasi prinsip pelaburan KWSP yang kukuh dan hasil daripada mempelbagaikan portfolio merentasi pasaran dan sektor yang berbeza.

"Pencapaian KWSP mencerminkan keberkesanan dana yang seimbang dan pelbagai dan 2013 adalah tahun yang sangat baik untuk pelaburan ekuiti manakala portfolio pendapatan tetap menunjukkan prestasi lebih baik pada tahun sebelumnya," katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Sejak krisis kewangan global 2008, KWSP mengisytiharkan dividen dikompaun melebihi RM120 bilion kepada ahlinya. Saiz aset pelaburan KWSP termasuk caruman tahunan bersih telah mencatatkan peningkatan kukuh daripada RM342.01 bilion pada 2008 kepada RM586.66 bilion pada akhir 2013.

Kadar dividen ini diisytiharkan hasil pendapatan pelaburan kasar yang mencatatkan rekod tertinggi sebanyak RM35 bilion, meningkat 12.81 peratus daripada RM31.02 bilion yang dicatatkan pada 2012.

Dengan jumlah ahli KWSP meningkat kepada lebih daripada 13 juta, sebanyak RM4.91 bilion diperlukan untuk membayar setiap satu peratus kadar dividen bagi 2013 dan ia 10.06 peratus lebih tinggi berbanding RM4.46 bilion yang dibayar untuk setiap satu peratus kadar dividen pada 2012.

Jumlah yang diperlukan untuk membayar satu peratus kadar dividen akan terus meningkat antara lapan dan sembilan peratus setahun. Pembayaran dividen 2013 diperoleh selepas ditolak peruntukan rugi terjejas bersih ke atas aset kewangan, perbelanjaan pelaburan dan operasi, caj berkanun serta dividen untuk pengeluaran.

Manakala jumlah pendedahan KWSP di luar negara ialah 20.97 peratus daripada jumlah aset pelaburan berdasarkan nilai buku setakat akhir Disember 2013, meningkat daripada 16.98 peratus pada tahun sebelumnya.

Pada tahun yang dikaji, KWSP telah menyumber luar USD2.20 bilion (RM7.26 bilion) kepada pengurus dana luaran untuk mandat ekuiti global manakala RM2.25 bilion dan RM850 juta masing-masing sudah disuntik ke mandat pendapatan tetap dan ekuiti domestik

Maklumat dividen 2013 boleh diperoleh menerusi laman Facebook KWSP di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Twitter di KWSPBuzz dan YouTube. Penyata akaun KWSP yang telah dikreditkan dividen 2013 boleh disemak mulai sekarang secara online melalui i-Akaun di laman web myEPF (www.kwsp.gov.my).







0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI