Krisis air Selangor: 3 juta pengguna bakal terjejas

Wednesday, February 26, 2014

Krisis air Selangor: 3 juta pengguna bakal terjejas

Cadangan kerajaan Selangor untuk mengurangkan bekalan air berskala besar sehingga 500 juta liter sehari (JLH) akan mengakibatkan kira-kira 3 juta pengguna terputus bekalan air dan membabit lebih satu pertiga kawasan pengguna di Selangor, Kuala Lumpur serta Putrajaya.

Pengarah Eksekutif, Pembangunan Teknikal SYABAS V Subramaniam berkata, pihaknya bukan saja tidak boleh melaksanakan arahan berkenaan tanpa kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) malah turut akan menjejaskan 750,000 kediaman.

"Cadangan kerajaan Selangor juga tidak mengambil kira kawasan pengguna yang sensitif seperti hospital, pusat dialisis, pejabat pentadbiran kerajaan, premis perniagaan dan kilang yang perlu perhatian semua.

"SYABAS hanya diberikan dua hari oleh kerajaan Selangor untuk menyediakan pelan pengagihan air berjadual bagi kawasan yang terbabit berskala besar ini walaupun cadangan berkenaan masih belum mendapat kelulusan SPAN," katanya.

Kelmarin, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mengumumkan cadangan mengurangkan pelepasan air mentah dari Empangan Sungai Selangor sebanyak 600 JLH dan pengurangan air terawat sebanyak 500 JLH dari lima loji rawatan air.

Subramaniam berkata, adalah tidak wajar sebagai Menteri Besar beliau tidak memaklumkan kesan dari cadangannya itu untuk mengurangkan bekalan air sebanyak 500 JLH dari ke lima-lima loji rawatan air berkenaan supaya pengguna dan rakyat tahu apa yang akan mereka tempuhi apabila catuan dilakukan.

"Sedangkan sebelum ini beliau bersungguh-sungguh menyatakan air atau bekalan air cukup untuk pengguna dan rakyat Selangor," katanya. ~HM

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI