Hati-hati dengan sindiket `Penipuan Macau'

Friday, February 28, 2014

Hati-hati dengan sindiket `Penipuan Macau'

Sindiket penipuan 'sedut duit' melalui panggilan telefon dikesan menggunakan taktik menawarkan iklan kerja kosong kepada orang ramai bagi membolehkan mereka memperoleh akaun bank tempatan.

Akaun bank dan kad pengeluaran wang automatik (ATM) milik pemohon pekerjaan itu bagaimanapun digunakan pihak sindiket untuk menyimpan duit haram yang dipindahkan daripada mangsa lain ke dalam akaun berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Perak Superintendan Maszley Minhad yang mendedahkan perkara itu berkata, sindiket akan menawarkan pekerjaan palsu melalui iklan di akhbar sebelum mengarahkan pemohon membuka akaun bank dengan alasan untuk memudahkan pembayaran gaji.

Menurutnya, pada masa sama sindiket akan menjalankan kegiatan penipuan dengan menghubungi orang ramai dan mendakwa kad kredit mereka digunakan penjenayah di luar negara.

"Sindiket yang menyamar sebagai pegawai polis Ibu Pejabat Polis Bukit Aman atau pegawai Bank Negara Malaysia (BNM) mendakwa akaun bank mangsa sedang disiasat.

"Mangsa kemudian diminta memindahkan semua wang ke dalam akaun khas dengan alasan bagi mengelakkan wang itu dilarikan penjenayah yang memalsukan identiti mereka," katanya.

Maszley berkata, mangsa diminta memindahkan semua wang ke dalam akaun pemohon yang meminta pekerjaan sebelum wang berkenaan dikeluarkan oleh sindiket.

"Taktik ini menyebabkan pihak sindiket sukar dijejaki, malah memudahkan mereka mengeluarkan wang milik mangsa.

"Setakat ini sindiket yang terkenal dengan gelaran `Penipuan Macau masih berleluasa dan berjaya menipu ramai mangsa.

"Berdasarkan statistik, seramai 80 mangsa ditipu sepanjang 2013 membabitkan kerugian lebih RM3 juta. Selain itu, sebanyak 25 kes dilaporkan berlaku antara Januari lalu hingga semalam yang membabitkan kerugian hampir RM1 juta," katanya.

Menurutnya, polis memandang serius kes penipuan itu dan seramai 11 individu berjaya diberkas di beberapa daerah di negeri ini sejak Januari lalu.

"Ahli sindiket ini yang didalangi warga tempatan dan warga asing menggunakan alat penyamaran suara dan alatan khas yang membolehkan nombor telefon BNM atau Ibu Pejabat Polis Bukit Aman tertera pada skrin telefon bimbit mangsa.

"Ini menyebabkan kebanyakan mangsa mudah percaya dan ditipu tanpa melakukan siasatan," katanya.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI