Golongan kufur tentang kebenaran

Friday, February 28, 2014

Golongan kufur tentang kebenaran

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka, dan mereka itulah orang yang berjaya. Sesungguhnya orang kafir (yang tidak akan beriman), sama saja kepada mereka: sama ada engkau beri amaran kepadanya atau engkau tidak beri amaran, mereka tidak akan beriman. (Dengan sebab keingkaran mereka), Allah mematerikan atas hati mereka serta pendengaran mereka, dan pada penglihatan mereka ada penutupnya; dan bagi mereka pula disediakan azab seksa yang amat besar." (Surah al-Baqarah, ayat 5-7)

Pada ayat kelima surah al-Baqarah ini, Allah SWT menjelaskan, orang yang mempunyai sifat takwa seperti beriman dengan perkara ghaib, mendirikan solat, menafkahkan harta ke jalan-Nya, beriman dengan apa yang diturunkan ke atas rasul, percaya hari akhirat, mereka sentiasa mendapat petunjuk atau cahaya daripada Allah SWT dan termasuk dalam golongan orang yang mendapat kejayaan.

Dalam tafsir Jalallain, maksud orang yang berjaya itu ialah orang yang berjaya mendapatkan syurga dan terlepas daripada seksaan api neraka. Ungkapan `mereka itulah' disebut dua kali dalam ayat bermaksud sama iaitu merangkumi orang Mukmin daripada golongan ahli kitab dan bukan ahli kitab.

Gambaran orang kafir

Pengulangan itu menunjukkan orang beriman yang berasal daripada kedua-dua golongan itu sama-sama memperoleh petunjuk di sisi Allah SWT. Setelah Allah SWT menceritakan sifat orang Mukmin dan pembalasan bakal diperoleh di akhirat, ayat berikutnya memberi gambaran sebaliknya bagi orang kafir.

Ungkapan orang kafir dalam ayat itu bermaksud orang yang mempunyai sifat kafir yang sebati dalam dirinya sehingga tidak mahu menerima keimanan. Justeru, mereka mengingkari segala ajaran dibawa oleh Nabi SAW meskipun mereka telah diberi penjelasan berdasarkan dalil yang rasional.

Malah, mereka menghadapi semua perdebatan itu dengan keingkaran dan penghinaan. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah pada hal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepada-Nya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan)." (Surah al-Baqarah, ayat 28)

Begitulah persoalan yang dilontarkan Allah SWT dan mereka tidak mampu memberi jawapan kerana Dialah Allah yang mencipta dan menjadikan manusia. Tiada manusia yang boleh mendakwa dia boleh mencipta dirinya dan mencipta orang lain.

Dua golongan kafir

Mereka yang dikatakan kafir ini terbahagi kepada dua golongan iaitu mereka yang kufur kepada Allah, tetapi apabila datang petunjuk, dia menggunakan pemikirannya dan mengetahui itu adalah kebenaran, lalu dia beriman.

Golongan kedua pula ialah yang mendapat faedah keduniaan daripada kekufurannya. Justeru, apa saja peringatan, dalil dan bukti yang jelas nyata, dia tetap berdegil untuk terus mengingkarinya kerana ingin menjaga kuasa, kedudukan serta pengaruh yang dibina atas kezaliman dan keangkuhan.

Mereka kufur bukan kerana dakwah tidak sampai atau rasul dan nabi tidak memimpin mereka ke jalan yang lurus, tetapi mereka menjadikan kekufuran sebagai manhaj kehidupan. Mereka inilah yang mendapat faedah daripada kekufuran yang menjadikan mereka pemimpin.

Bagi orang kufur, jika mereka menerima dakwah Rasul, sudah tentu mereka akan menjadi manusia biasa kerana Islam tidak membezakan manusia melainkan dengan takwa dan amal soleh. Lantaran itu, sama ada Rasulullah SAW mengingatkan ancaman seksa atau tidak, ia sama saja.

Sudah menjadi Sunnatullah, mereka yang terjebak dalam kekafiran, pasti hati, penglihatan dan pendengaran akan tertutup mati, sehingga tidak lagi mahu menerima keimanan. Justeru, Allah SWT telah menetapkan seksaan yang pedih bagi mereka pada hari pembalasan.

Sementara itu, di dunia ini pula mereka menerima penghinaan dan kelemahan seperti disebut dalam firman-Nya yang bermaksud: "Mereka (dengan perbuatan itu) akan beroleh kehinaan di dunia, dan di akhirat kelak mereka mendapat azab seksa yang amat besar." (Surah al-Baqarah, ayat 114)

Apabila hati seseorang sudah menjadi buta untuk melihat keperluan beriman kepada Allah dan Rasul, maka tidak ada lagi mata yang boleh melihat ayat-ayat keimanan, tidak ada lagi telinga yang mampu mendengar ayat-ayat Allah SWT.

Antara faktor menyebabkan mereka kufur ialah menentang kebenaran walaupun mereka mengetahui.

Golongan dikategorikan dalam golongan ini ialah orang musyrik dan Yahudi yang hidup pada zaman Rasulullah SAW seperti Abu Lahab, Abu Jahal, Alwalid Ibnu Al-Mughirah dan pendeta Yahudi.

Bersikap sombong, abai kebenaran

Mereka bersikap sombong serta mengabaikan kebenaran, golongan ini sebenarnya terdapat di setiap tempat dan zaman. Antara keagungan Allah SWT ialah Dia Maha Mengetahui siapa yang beriman dan siapa sebaliknya tanpa Allah SWT masuk campur dalam pilihan mereka.

Ketika Allah SWT mengutus Nabi Nuh selama 950 tahun, sebelum datangnya taufan dan banjir besar, Allah SWT mengetahui tidak ramai akan beriman. Allah SWT memerintahkan Nabi Nuh untuk membina bahtera bagi menyelamatkan orang Mukmin daripada banjir besar itu.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan (setelah itu) diwahyukan kepada Nabi Nuh: Bahawa sesungguhnya tidak akan beriman lagi dari kaummu melainkan orang yang telah sedia beriman. Oleh itu, janganlah engkau berdukacita mengenai apa yang mereka sentiasa lakukan. Dan buatlah bahtera dengan pengawasan serta kawalan Kami, dan dengan panduan wahyu Kami (mengenai cara membuatnya)." (Surah Hud, ayat 36-37)

Allah SWT Maha Mengetahui siapa yang akan mati dalam keadaan kekufuran, tetapi mengapa Allah SWT meminta daripada Rasul-Nya, Nabi Muhammad SAW untuk menyampaikan Islam kepada mereka?

Jawapannya ialah supaya manusia yang enggan beriman itu tidak boleh berhujah di akhirat bahawa sewaktu mereka di dunia dulu, mereka tidak didatangi oleh Rasul untuk menyampaikan ajaran tauhid kepada mereka.

Oleh Ahmad Shukri Yusoff
* Penulis ialah perunding motivasi Islam Fitrah Power Resources
(BH)

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI