`African Savana' tarikan baru Zoo Taiping, Night Safari

Thursday, February 06, 2014

`African Savana' tarikan baru Zoo Taiping, Night Safari

Kunjungan ke Zoo Taiping dan Night Safari akan lebih menarik apabila tiga projek bagi meningkatkan kemudahannya hampir siap sepenuhnya dalam usaha menjayakan sasaran sejuta pelawat ke situ.

Pengarahnya, Dr Kevin Lazarus, berkata satu daripada projek itu iaitu trend baharu yang lebih selesa kepada pengunjung untuk mengelilingi laluan hampir tiga kilometer dalam zoo bagi melihat haiwan di situ sudah siap dan beroperasi.

Projek penambahbaikan siap tidak lama lagi

Beliau berkata, dua lagi projek penambahbaikan iaitu Gajah Sungai Perak dalam kawasan 0.6 hektar dan `African Savana' yang terletak di tengah-tengah zoo dijangka siap tidak lama lagi.

Katanya, ketiga-tiga projek itu membabitkan kos RM3.8 juta yang dibiayai melalui peruntukan di bawah projek Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

"Gajah Sungai Perak menempatkan kumpulan gajah di habitat yang sesuai termasuk sungai yang airnya mengalir dan akan memberi kemudahan kepada haiwan itu untuk berendam, sekali gus menggambarkan kepada pengunjung mengenai kehidupan sebenar gajah.

"African Savana pula memperlihatkan kehidupan binatang di Savana Afrika secara realiti," katanya ketika ditemui di sini.

Lazarus berkata, lokasi `African Savana' dan Gajah Sungai Perak dilengkapi dengan laluan tren dan stesen bagi memberi peluang kepada pengunjung untuk melihat dan mengambil gambar dengan lebih dekat haiwan berkenaan.

Beliau berkata, pihak Zoo Taiping dan Night Safari juga akan meningkatkan prasarana 12 kandang haiwan di zoo berkenaan yang akan dilaksanakan dan siap selewat-lewatnya pertengahan tahun ini.

"Semua projek yang dilaksanakan di Zoo Taiping dan Night Safari bertujuan menarik lebih ramai pengunjung dalam dan luar negara untuk berkunjung ke zoo ini sempena Tahun Melawat Malaysia 2014.

Kira-kira 800,000 pengunjung tempatan dan luar negara mengunjungi zoo berkenaan sepanjang tahun lalu.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI