Remaja diculik,dibogel dan dipuja

Tuesday, January 07, 2014

Remaja diculik,dibogel dan dipuja

Diculik kemudian dibogelkan sebelum dibalut kain putih seperti dikafan dan seterusnya dipuja dari waktu Maghrib sehingga Subuh. Itu pengalaman menakutkan yang dilalui seorang remaja, selama tiga hari.

Remaja itu yang hanya mahu dikenali sebagai Azmi, 19, berkata lebih menyeksakan, kumpulan individu berjubah hitam itu turut menjerut kemaluannya selain menderanya dengan pelbagai cara apabila dia melawan.

Azmi berkata, dia diculik ketika berjalan kaki untuk ke kedai berhampiran rumahnya di sini kira-kira jam 5 petang pada 1 Januari lalu, sebelum dibebaskan pagi Sabtu lalu.

Menurutnya, kejadian diculik dan dipuja itu bukan kali pertama berlaku ke atasnya, malah yang keempat dengan tiga kejadian lagi berlaku pada Jun dan November lalu.

"Dalam kejadian pertama pada Jun serta kedua dan ketiga pada November tahun lalu saya diculik hanya satu malam dan jumlah individu terbabit sekitar tujuh hingga 10 orang saja.

"Bagaimanapun, dalam kejadian terbaru minggu lalu saya diculik selama tiga hari dan individu yang terbabit juga ramai iaitu kira-kira 50 orang termasuk beberapa wanita," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Azmi berkata, dia sendiri tidak tahu apa motif anggota kumpulan berjubah hitam itu berbuat demikian ke atasnya, namun percaya ia ada kaitan dengan kebolehan istimewa dimilikinya.

"Sejak berusia 14 tahun saya diberi Allah deria keenam kerana boleh melihat objek alam ghaib yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar oleh orang lain.

"Jadi, bila saya tanya kepada kumpulan penculik itu kenapa mereka culik dan puja saya mereka kata saya istimewa, daripada keturunan Nabi Sulaiman dan berdarah suci.

"Tapi saya sendiri tak tahu apa maksud mereka itu," katanya yang membuat laporan polis mengenai keempat-empat kejadian penculikan dan penderaan ke atasnya di Balai Polis Rawang.

Menceritakan lebih lanjut pengalamannya sepanjang tiga hari diculik minggu lalu, Azmi berkata selepas dipaksa masuk ke dalam kereta dia diberi sejenis minuman seperti susu menyebabkan dia terus tidak bermaya.

"Seperti tiga kejadian sebelum ini mereka membawa saya ke dalam kawasan hutan namun saya tidak tahu di mana. Saya kemudian dibogelkan dan seluruh badan saya ditulis simbol aneh.

"Mereka kemudian membalut badan saya dengan kain putih sebelum memulakan upacara pemujaan bermula selepas waktu Maghrib hingga ke Subuh," katanya.

Ditanya bagaimana upacara pemujaan berlangsung, Azmi berkata, kira-kira 50 orang yang bercampur gaul lelaki dan wanita dengan semuanya memakai jubah hitam mengelilinginya.

Menurutnya, mereka membaca jampi di dalam bahasa pelik yang tidak difahaminya, tambahan pula dia tidak dapat berfikir dengan sempurna kerana masih berada dalam keadaan separuh sedar.

"Paling menyeksakan apabila mereka menjerut kemaluan saya dengan tali plastik dengan alasan untuk melengkapkan upacara pemujaan. Selain itu, mereka juga memasang lilin dan membawa patung serta pisau," katanya.

Azmi berkata, dia kemudian dibebaskan Sabtu lalu kira-kira jam 7 pagi di Batu Arang dalam keadaan masih berkain kapan dan diikat di tiang sebuah pondok.

"Mereka kemudian menghubungi bapa sebelum dia datang dan menyelamatkan saya," katanya sambil memberitahu dia kemudian menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh sebelum dibenar pulang sehari kemudian.

Menurutnya, berdasarkan pengalaman tiga kejadian sebelum ini dia tidak banyak melawan kerana bimbang dikasari kumpulan individu itu.

"Ketika kali pertama diculik dulu, saya cuba melarikan diri selepas dibawa ke dalam hutan. Mereka kemudian berjaya menangkap saya dan saya kemudian dipukul.

"Mereka juga membawa saya ke sungai sebelum menekan kepala ke dalam air sehingga saya lemas dan sukar bernafas," katanya.

Sementara itu, bapa Azmi yang enggan dikenali berkata, dia juga percaya anaknya menjadi mangsa kumpulan individu berjubah itu disebabkan deria keenam dimilikinya.

"Apapun, saya cuma berharap pihak polis akan melakukan siasatan sebaik mungkin dan seterusnya menangkap mereka kerana sudah empat kali anak saya dianiaya mereka," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi; Meor Azlan Meor Kamarul Shahid
~ Metro

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI