Penyakit tak berjangkit (NCD) ancaman baru

Wednesday, January 01, 2014

Penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti obesiti, darah tinggi dan diabetes kini menjadi ancaman kesihatan baru di negara ini dengan jumlah pesakitnya meningkat setiap tahun.

Penyakit tidak berjangkit ini berpunca daripada empat cara hidup masyarakat iaitu akibat amalan kehidupan tidak sihat, pengambilan diet tidak seimbang, pengambilan tembakau dan alkohol berlebihan.

NCD juga dilaporkan menjadi punca kematian bayi pramatang di Malaysia dan lebih menyedihkan, dianggarkan sebanyak 17 peratus peningkatan kes bakal dicatatkan dalam tempoh 10 tahun lagi.

Sehubungan itu, Pertubuhan Penyakit Tidak Berjangkit Malaysia atau NCD Alliance Malaysia yang baru ditubuhkan, mengambil langkah inisiatif sebagai penggerak kesedaran, sekali gus menyampaikan maklumat kepada umum mengenai risiko peningkatan penyakit berbahaya itu.

Penaungnya, Puan Sri Akmal Abdul Salam, berkata empat faktor penting bagi membimbing kesedaran risiko penyakit NCD, termasuk perubahan obesiti, tekanan darah tinggi, peningkatan kandungan glukosa dan peningkatan kolesterol dalam darah.

"Seramai 4.4 juta rakyat Malaysia dikategorikan sebagai obesiti dan satu pertiga daripada mereka sengsara akibat kegemukan. Ia menunjukkan senario kritikal menjadi amalan masyarakat setempat. Jadi, penting untuk kita ubah corak kehidupan untuk mencapai komuniti sihat," katanya pada majlis perasmian pertubuhan itu, di ibu negara, baru-baru ini.

Gaya hidup tidak sihat

Katanya, perubahan rutin harian moden seperti kurang aktif juga menjadi punca utama peningkatan kes penyakit, berbanding masyarakat dulu yang lebih aktif menjalani rutin harian seperti bercucuk tanam dan sebagainya.

"Kita harus menerima hakikat bahawa gaya hidup kita yang semakin tidak sihat ekoran tuntutan kerja dan cabaran hidup yang semakin kompleks akan menjerumuskan kepada risiko penyakit berbahaya itu. NCD bukan saja memberi kemerosotan kualiti hidup kerana penghidap akan bergantung sepenuhnya terhadap rawatan perubatan, tetapi menjejaskan kualiti kehidupan dan boleh memberi bebanan kepada ekonomi negara.

"Hari ini, penghidap NCD juga dicatatkan semakin muda usianya dan perkara ini amat membimbangkan jika generasi muda hilang kualiti kehidupan," katanya.

Pendedahan awal

Akmal berkata, pendedahan awal terhadap penjagaan kesihatan dapat mengelakkan peningkatan kes dalam kalangan masyarakat.

Tegasnya, ibu bapa perlu berperanan penting dalam usaha mendidik generasi sihat selain perkhidmatan kesihatan ditawarkan kementerian.

"Bukan mudah untuk mengubah persepsi dan tabiat manusia terutama jika dikaitkan dengan corak rutin penjagaan kesihatan. Oleh itu, kami perlu bermula daripada asas, termasuk pengetahuan mengenai diet sihat. Kehadiran pertubuhan ini juga diharapkan dapat menjana kerjasama antara semua pihak bagi meningkatkan mutu kehidupan dan pemulihan kualiti hidup jangka masa panjang," katanya.

Pelan tingkat kesedaran

Sementara itu, kata Timbalan Setiausaha Agung (Strategik), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Harjeet Singh, lebih membimbangkan, masih ramai rakyat Malaysia yang tidak sedar bahawa mereka sedang menghidap NCD. Bahkan, ramai lagi tidak sedar mengenai risiko penyakit ini dan menganggap ia perkara remeh.

"Kementerian bakal mengambil langkah proaktif dengan menjalankan Pelan Tindakan Global bagi pencegahan dan kawalan NCD menerusi rangka kerja pemantauan global lebih komprehensif untuk mencegah penyakit ini.

"Antara sembilan sasaran dirangka, ialah penurunan risiko kematian bayi pramatang, kekurangan penggunaan alkohol dan peningkatan aktiviti fizikal dan penurunan populasi pengambilan sodium.

"Objektif pelan dijalankan itu bertujuan mengukuhkan keupayaan negara, kepimpinan, tadbir urus, tindakan pelbagai sektor dan perkongsian mempercepatkan tindak balas negara bagi mengawal pencegahan dan NCD," katanya.

Penyakit tidak berjangkit

- Peragut nyawa nombor satu di Malaysia menyebabkan kelumpuhan fizikal, emosi dan sosial serta pendapatan ekonomi.

- Sasaran penurunan NCD 2014-2020 di peringkat global.

- 25 peratus penurunan kes kematian bayi pramatang akibat NCD.

- 10 peratus pengurangan pengambilan alkohol.

- 30 peratus pengurangan dalam pengambilan sodium.

- 30 peratus pengurangan pengambilan tembakau.

- 25 peratus atau tiada peningkatan dalam hipertensi.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI