Penciplak rekaan tudung Fareeda akan disaman

Tuesday, January 07, 2014

Pengusaha jenama tudung Fareeda, Fareeda Global Resources Sdn Bhd (Fareeda) memberi amaran kepada syarikat yang menciplak rekaan tudung keluaran syarikat itu yang dipatenkan di bawah Akta Reka Bentuk Perindustrian 1996 supaya menghentikan pengeluaran dan penjualan produk terbabit.

Pengasasnya, Faridah Zakaria berkata, sekiranya gagal berbuat demikian, pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang sudah dikenal pasti menciplak tujuh reka bentuk tudung dipatenkan di bawah akta berkenaan.

Katanya, tindakan tidak bertanggungjawab pengusaha terbabit mengaut keuntungan mudah daripada titik peluh syarikatnya serta kos pelaburan untuk pengiklanan dan pemasaran bernilai jutaan ringgit setiap tahun.

"Sudah lama kami perhatikan banyak peniaga dan pengusaha menciplak rekaan tudung Fareeda, namun paling ketara sepanjang tahun lalu apabila hasil pemantauan, ada beberapa syarikat pesaing turut meniru rekaan kami dan menjual produk palsu secara besar-besaran.

"Itu belum termasuk produk palsu Fareeda yang dijual secara meluas melalui online. Dianggarkan jualan syarikat terbabit mencecah RM5 juta sebulan melalui tudung rekaan Fareeda yang dipatenkan, malah ada antaranya yang sudah mempunyai kilang sendiri untuk mengeluarkan produk rekaan kami," katanya.


Sehubungan itu Faridah berkata, satu notis amaran sudah dikeluarkan menerusi peguamnya bagi memberi peringatan kepada semua pihak, terutama syarikat dan pengusaha yang melanggar hak mereka selaku pemilik sah rekaan tudung Fareeda.

Katanya, tindakan undang-undang yang akan diambil antaranya, mendapatkan ganti rugi atau perintah pengemukaan akaun keuntungan dan perintah injunksi bagi menghalang perlanggaran lanjut oleh syarikat terbabit di bawah undang-undang.

Sementara itu Nadzim berkata, kerajaan perlu lebih tegas dalam memastikan hak intelek produk dikeluarkan syarikat tempatan terus mendapat perlindungan sewajarnya.

"Perkara yang berlaku terhadap Fareeda hanya sebahagian saja kes harta intelek diciplak. Ini jelas memberi isyarat tidak betul, kita bimbang apabila pada masa akan datang orang lain buat begini (ciplak) pun tidak mengapa.

"Lebih membimbangkan apabila sekarang ini pun negara kita memang dikenali dengan pendekatan penguatkuasaan yang lebih berlembut.

"Justeru, tiba masa kerajaan melalui kementerian dan agensi berkaitan bertegas dalam hal membabitkan perlindungan harta intelek melalui akta berkaitan," katanya.

Beliau turut mengingatkan pengusaha dan peniaga Islam supaya menjalankan perniagaan dengan lebih berhemah dan beretika supaya rezeki diperoleh mendapat keberkatan.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI