Mihrab arah kiblat masjid

Wednesday, January 29, 2014

Mihrab istilah berasal daripada Arab (al-mihrab, jamaknya maharib). Ia merujuk kepada penjuru di bahagian depan yang menunjukkan arah kiblat di sebuah masjid, yakni arah Kaabah.

Dalam Tanbihul Ghafilin, mihrab diertikan sebagai medan perang. Dinamakan mihrab sebab menjadi medan perang (orang bersolat) melawan syaitan yang berusaha untuk meninggalkan solat manusia.

Mihrab menjadi tumpuan bagi Muslim yang mengerjakan solat di dalam masjid, kerana imam juga akan mengimamkan solat dari penjuru itu.

Bagi mereka yang mula memasuki masjid kerap kali tertumpu pandangan ke arah itu, sementelah ia dihias rapi dan indah. Namun, hiasan yang mengganggu khusyuk dalam solat adalah tidak digalakkan.

Istilah mihrab ada disebutkan dalam al-Quran seperti pada ayat 37 daripada surah Ali-Imran yang bermaksud: "Maka dia (Maryam) diterima oleh Tuhannya dengan penerimaan yang baik, dan dibesarkannya dengan didikan yang baik, serta dipeliharai dia oleh Nabi Zakaria.

"Tiap-tiap kali Nabi Zakaria masuk untuk menemui Maryam di mihrab, dia dapati rezeki (buah-buahan yang luar biasa) disisinya.

"Nabi Zakaria bertanya: Wahai Maryam, dari mana engkau dapati (buah-buahan) ini? Maryam menjawab: Ialah dari Allah, sesungguhnya Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dengan tidak dikira."

Kemudian pada ayat 39, surah yang sama bermaksud: "Maka malaikat memanggilnya sedang dia berdiri solat di mihrab, (katanya): Bahawasanya Allah memberi khabar yang menggembirakan-Mu, dengan (kelahiran) Yahya, yang membenarkan Kalimah dari Allah dan akan menjadi ketua dan juga akan menahan diri dari berkahwin, dan akan menjadi seorang Nabi dari orang yang soleh."

Bagaimanapun, menurut Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam Tuntutan Membangun Masjid, pada zaman Rasulullah SAW, Masjid Nabi tidak memiliki mihrab dan demikian juga pada masa khulafa ar-Rasyidin.

Diceritakan, sewaktu era pemerintahan Uthman bin Affan, khalifah memerintahkan suatu tanda yang akan ditampal pada dinding Masjid di Madinah. Justeru, penziarah akan mudah mengetahui arah kedudukan kiblat sebenar yang terus menghadap ke Makkah.

Namun, tanda itu hanya sebuah tanda di dinding dan tembok yang tetap dalam keadaan mendatar.

Orang pertama dikatakan meletakkan mihrab di dalam Masjid Nabawi ialah Umar Abdul Aziz, ketika menjadi gabenor Madinah pada masa pemerintahan Khalifah al-Walid bin Abdul Malik.

Ketika itu Umar melakukan ubah suai kepada Masjid Nabawi yang kemudiannya selesai pada 91 Hijrah.

Disebabkan belum ada pada masa Nabi dan khulafa ar-Rasyidin, malah tidak ada sunah dari sudut perkataan, perbuatan mahupun persetujuan (takrir), ahli fiqah berbeza pendapat hukum mengadakannya.

Mazhab Syafie berpendapat bahawa solat di mihrab tidak makruh. Sementara mazhab Hanafi dan Maliki menunjukkan dibolehkannya. Mazhab Hanbali berpendapat mendirikan mihrab adalah mubah (harus).

Imam Zarkasyi dalam I'laamus Saajid pula mengatakan, sebahagian salaf memakruhkan pendirian mihrab di dalam masjid.

Bagaimanapun, kini mihrab hadir secara menyeluruh dalam pelbagai saiz dan dekorasi. Lazimnya dengan kalimah suci al-Quran dan gabungan corak geometri.

Sesetengah masjid direka dengan penuh ciri keunikan bagi membolehkan setiap jemaah melihat mihrab, misalnya Masjid Jamek Damsyik. Dewan solatnya memuatkan jemaah yang ramai dan masing-masing dapat melihat ke arah mihrab.

Bahagian dalam masjid itu dihias jubin berbentuk geometri, membangkitkan kenangan silam Kubah Batu di Baitul Maqdis. Dikatakan masjid itu menggunakan paling banyak jubin membabitkan lebih 4,000 meter persegi.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI