Kecekapan tentera tangani komunis

Tuesday, January 21, 2014

Kecekapan tentera tangani komunis

Kebangkitan semula pengganas Komunis (1968-1989) adalah satu usaha oleh Parti Komunis Malaya dan Parti Komunis Kalimantan Utara untuk menggulingkan kerajaan secara kekerasan di Malaysia bagi membolehkan penubuhan sebuah kerajaan berfahaman komunis.

Selepas Darurat diisytiharkan tamat pada 1960, gerila Komunis berundur masuk ke kawasan Selatan Thailand dan buat beberapa tahun tidak membuat serangan dan penyusupan ke Malaysia. Buat seketika, pasukan keselamatan Malaysia boleh menumpukan perhatian kepada pengukuhan bilangan anggota tentera, melengkapkan pasukan dengan kelengkapan baru dan meningkatkan latihan.

Pada 1968, Parti Komunis Malaya sekali lagi mencabar pasukan keselamatan Malaysia dalam konflik bersenjata. Parti Komunis Malaya sudah bersiap sedia selama lapan tahun untuk pemberontakan kali kedua berhajat untuk merampas kuasa dengan menggunakan kekerasan.

Kali ini, pemberontakan dilakukan serentak dengan pemberontakan di Kalimantan oleh Parti Komunis Kalimantan Utara. Sekali lagi, pasukan gerak khas Tentera Darat Malaysia dan pasukan Polis Diraja Malaysia memikul tanggungjawab menghapuskan pemberontakan ini.

Parti Komunis Malaya dan Parti Komunis Kalimantan Utara juga menjalankan operasi pembunuhan ketua pasukan keselamatan dan pemimpin berpengaruh di kawasan bandar. Parti Komunis Malaya berjaya membuat dua pembunuhan nekad dengan pembunuhan Ketua Polis Negara dan Ketua Polis Perak.

Pembesaran Tentera Darat Malaysia

Dalam tempoh ini, sistem Pemerintah Medan Tentera Darat ditingkatkan taraf dengan penubuhan Markas Kor Tentera Darat di Kem Sungai Besi. Markas Divisyen Kedua Infantri telah ditempatkan di Pulau Pinang dan Markas Divisyen Ketiga Infantri telah ditubuhkan di Melaka. Markas Divisyen Pertama Infantri kekal di Kuching, Sarawak.

Tentera Darat Malaysia membuat beberapa operasi `cari dan musnah' di kawasan sempadan Malaysia - Thailand dan di Sarawak. Operasi besar-besaran dalam siri GONZALES dilancarkan untuk menjejak, mengesan dan seterusnya menghapuskan unit penggempur Parti Komunis Malaya. Operasi itu berjaya menghapuskan sebilangan anggota pengganas di Pahang dan Perak.

Unit penggempur Parti Komunis Malaya menggunakan taktik serang dan lari ke atas unit pasukan keselamatan. Selepas membuat serangan, mereka menyusup semula masuk ke kawasan hutan dalam sempadan Thailand, yang mana mereka tahu pasukan keselamatan Malaysia tidak mempunyai kuasa mengejar (hot pursuit). Taktik ini membantutkan kejayaan operasi siri Gonzales.

Untuk menangani kekangan ini, kerajaan Malaysia berunding dengan Kerajaan Thailand untuk membolehkan pasukan keselamatan Malaysia mengejar unit penggempur Parti Komunis Malaya walaupun mereka kembali memasuki wilayah Thailand. Hasil rundingan diadakan, kerajaan Thailand akhirnya bersetuju membenarkan pasukan Tentera Darat Malaysia membuat kejaran hot pursuit pengganas komunis masuk ke dalam wilayah Thailand sehingga satu kawasan tidak melebihi bandar Sadao, Thailand.

Operasi Daoyai Musnah

Pada 1976, Operasi Daoyai Musnah dilancarkan oleh Tentera Darat Malaysia untuk menghapuskan ancaman pengganas komunis di kawasan operasi 2 Divisyen Infantri. Operasi Daoyai Musnah berbeza kerana pasukan Tentera Malaysia membuat operasi cari dan musnah dalam kawasan operasi di wilayah Malaysia sehinggalah ke kawasan operasi di wilayah Thailand. Satu markas hadapan ditubuhkan di Sadao untuk tujuan perintah dan kawalan operasi.

Pasukan Tentera Darat Malaysia ditempatkan di wilayah Thailand untuk bertindak sebagai pasukan menghalang (blocking force). Kumpulan pengganas komunis mendapat kejutan kerana pasukan Tentera Malaysia tidak menghentikan operasi apabila kumpulan pengganas masuk ke wilayah Thailand, sebaliknya, mereka terus diburu. Kumpulan pengganas terus berundur sehingga bertembung dengan kumpulan Tentera Malaysia yang menjadi pasukan menghalang.

Operasi di Sarawak

Di Sarawak, ancaman Parti Komunis Kalimantan Utara ditangani oleh Markas Divisyen Pertama Infantri. Operasi besar seperti yang dijalankan oleh 2 Divisyen di Semenanjung Malaysia juga dilancarkan di kawasan operasi Sarawak.

Ancaman paling nyata dirasai kawan operasi Sungai Rejang. Keadaan keselamatan di Rejang mendorong Markas 1 Divisyen menubuhkan Markas Khas dipanggil Markas Keselamatan Kawasan Rejang (Rejang Area Security Command) ataupun RASCOM. 1 Divisyen membuat serangan balas dengan meningkatkan skop operasi cari dan musnah menentang Parti Komunis Kalimantan Utara.

Serang hendap di Lundu

Parti Komunis Kalimantan Utara berjaya membunuh 15 orang anggota Bn 7 Rejimen Renjer dalam satu serang hendap di Lundu pada 26 Mac 1972.

Serangan ini dibuat oleh segerombolan 30 hingga 40 orang pengganas ke atas konvoi terdiri dari sebuah Land Rover dan tiga lori tiga tan mengandungi askar jurutera yang dipinjamkan ke Batalion 7 Rejimen Renjer dan askar dari kompeni bantuan. Land Rover dan lori Bedford membawa askar jurutera tidak diserang dan dibiarkan melepasi kawasan serang hendap. Apabila lori ketiga masuk ke dalam kawasan pembunuhan, kumpulan pengganas melepaskan tembakan.

Askar Jurutera yang terlepas dari serang hendap tidak berhenti untuk melawan kerana bilangan mereka kecil (1 Seksyen). Mereka memecut ke Titi Akar dan meminta bantuan pasukan 1 Rejimen Askar Peninjau.

Batalion 7 Rejimen Renjer bertindak balas dengan melancarkan operasi cari dan musnah secara besar-besaran. Dalam operasi susulan, ramai pengganas dibunuh dan senjata dirampas.

Akibat tekanan ketenteraan yang semakin meningkat, unit penggempur komunis tidak dapat bertapak dengan berkesan di Semenanjung ataupun di Sarawak. Akhirnya, ramai menyerah diri kepada pihak berkuasa. ~ BH

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI