Pil papan tradisional letak kimia beracun steroid

Sunday, December 01, 2013

"Dakwaan pil papan ini dihasilkan daripada adunan organ istimewa binatang termasuk tupai jantan adalah mengarut. Syarikat hantu yang menjualnya hanya meletakkan kimia beracun steroid," kata Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penguat Kuasa Farmasi (BPF) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Mazlan Ismail.

Menurutnya, pil papan yang dijual dengan harga kira-kira RM1 hingga RM1.50 sebungkus itu dikesan turut menjadi kegilaan segelintir lelaki yang percaya ia boleh merawat penyakit lemah syahwat dan mati pucuk.

Bagaimanapun, pil papan itu hanya akan mengundang padah berikutan dicampur sebanyak mungkin kimia steroid di dalamnya.

"Saya amat bimbang terhadap kesan pil beracun ini, apatah lagi ia amat digemari penduduk kampung yang menghidap sakit lenguh lutut dan pinggang akibat kerja berat yang dilakukan.

"Golongan ini menggemari pil papan kerana kemampuannya menghilangkan rasa sakit dialami dalam masa singkat.

"Namun, mereka perlu mengambil pil ini secara lebih kerap bagi memastikan rasa sakit itu tidak berulang," katanya.

Mazlan berkata, kebergantungan kepada pil papan yang disangkakan maajun atau pil ubat tradisional ini akhirnya akan menyebabkan golongan terbabit menderita pelbagai penyakit lain.

"Ramai yang tidak tahu bahawa pil papan perlu diambil dalam kadar dos tertentu supaya tidak mengganggu sistem steroid sedia ada dalam tubuh.

"Pengambilan secara ikut suka hati hanya akan menyebabkan sistem tubuh menjadi celaru. Badan akan hilang daya tahan penyakit dan ini boleh membawa maut," katanya.

Menurutnya, pil ini amat bahaya sekiranya diambil oleh golongan wanita terutama yang sedang mengandung.

"Saya nasihatkan mereka yang mengambil pil papan ini secara kerap supaya segera berhenti dan berjumpa doktor untuk pemeriksaan kesihatan.

"Saya bimbang mereka mengalami kerosakan buah pinggang, kencing manis, tekanan darah tinggi selain masalah tulang reput.

"Pihak KKM percaya ia dihasilkan oleh sindiket sama. Biasanya terdapat dua atau tiga biji pil yang dimasukkan ke dalam bungkusan ubat papan berkenaan," katanya.

Menurutnya, BPF kerap merampas ubat papan berkenaan yang dijual pekedai runcit termasuk pemilik premis ubat-ubatan tradisional.

"Saya nasihatkan pekedai runcit atau ubat tradisional supaya tidak menjual pil papan ini sekiranya tidak mahu didakwa di mahkamah," katanya.

Harian Metro semalam, melaporkan mengenai pil papan terbabit yang berselindung di sebalik nama produk tradisional dan rempah-ratus bagi mempengaruhi pengguna untuk membelinya sedangkan kesan akibat memakan pil berkenaan membahayakan kesihatan. ~ HM


0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI