Pemuda Pas Perak kata Ustaz Kazim ahli Pas

Sunday, December 01, 2013

Pemuda Pas Perak mengesahkan, Mohammad Kazim Elias atau dikenali Ustaz Kazim adalah ahli parti itu yang sah.

Ketuanya, Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss berkata, pendakwah itu berkenaan mendaftar sebagai ahli Pas cawangan Kampung Manjoi (Tambun) sejak Julai 1998 dengan nombor keahlian 0475276.

Bagaimanapun menurutnya, tiada sebarang jawatan parti yang dipegang sepanjang pembabitannya dalam Pas.

“Pelantikannya sebagai ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno sebenarnya agak mengejutkan, ia juga menimbulkan persoalan sama ada Mohd Kazim telah menyertai Umno atau tidak kerana mengikut rekod, beliau masih ahli Pas yang sah.

“Apa-apapun kita tidak berhasrat untuk memberi ‘tekanan’, tambahan pula setakat ini, tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan Ustaz Kazim berhubung lantikan itu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Raja Ahmad berkata, Pas tidak menolak kemungkinan penerimaan jawatan itu kelak akan memberi kesan terhadap aktiviti keagamaan yang dilakukan termasuk ceramah, tazkirah dan kuliah.

Katanya, umum mengetahui, mana-mana individu yang berjawatan dalam politik, tidak dibenarkan menggunakan tempat ibadah terutama masjid sebagai pentas politik.

“Bagi Pemuda Pas, jika Ustaz Kazim telah mengesahkan menerima pelantikan jawatan itu, maka beliau sudah memikirkan implikasi kedudukannya sekarang ini sebagai pendakwah bebas,” katanya. ~ Sinar harian

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI