Banjir: Situasi di Pantai Timur semakin buruk

Friday, December 06, 2013

Situasi banjir di negeri-negeri Pantai Timur semakin buruk apabila jumlah mangsa yang dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan kini meningkat kepada 44,321 orang dari 11,750 keluarga sekitar jam 3.28 petang tadi berbanding 38,323 orang semalam.

Menurut Pusat Operasi Bencana Negeri, PAHANG merupakan negeri yang masih teruk terjejas dengan jumlah mangsa yang berada di pusat-pusat pemindahan ialah sebanyak 34,190 orang yang terdiri dari 8,939 keluarga.

Mereka kini ditempatkan di 99 pusat pemindahan banjir di tujuh daerah di negeri itu yang turut terjejas akibat banjir.

Daerah Kuantan mencatatkan jumlah mangsa pemindahan banjir yang paling tinggi iaitu sebanyak 27,371, diikuti dengan Pekan (3,169), Rompin (2,865), Jerantut (167), Bera (65), Maran (49) dan Lipis (33).

Di TERENGGANU, dilaporkan jumlah mangsa di 81 pusat pemindahan banjir telah menurun kepada 6,696 dari 7,780 pada semalam.

Menurut Portal Majlis Keselamatan Negara (MKN), daerah Kemaman kekal sebagai daerah yang teruk terjejas dengan 2,859 mangsa ditempatkan di pusat pemindahan banjir diikuti Dungun (2,668), Hulu Terengganu (1,001), Setiu (99), Marang (63) dan Besut (6).

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir semakin meningkat sebanyak 2,339 melibatkan 684 keluarga berbanding 986 orang pada semalam.

Pasir Mas merupakan kawasan yang paling teruk dilanda banjir apabila 1,345 mangsa dari 595 keluarga diikuti Kuala Krai (506), Tanah Merah (222), Pasir Puteh (219), Machang (39) dan Tumpat (8) dan mereka ditempatkan di 33 pusat-pusat pemindahan banjir di daerah tersebut.

Portal Rasmi Kerajaan Negeri pula melaporkan paras air sungai kini telah surut dari paras bahaya seperti yang dicatatkan semalam.

Pada jam 10.30 pagi hari ini pula, bacaan paras air di Sungai Kelantan di Tangga Krai adalah di paras 22.57 meter (melepasi paras bahaya iaitu 22.50 meter), di Tambatan Di Raja pula ianya mencatatkan paras 4.32 meter (melepasi paras bahaya iaitu 4 meter), Sungai Tualang pula berada di paras 30.44 meter (paras bahaya adalah 31 meter).

Paras air di Sungai Golok, Rantau Panjang pula mencatatkan paras 10.30 meter pada pagi ini dan ianya telah melepasi paras bahaya iaitu pada paras sembilan meter.

Jika kenaikan paras air ini masih terus berlaku, penduduk di Pasir Mas berkemungkinan besar akan dipindahkan.

Hujan lebat di beberapa kawasan pedalaman Kelantan masih lagi berlaku.

Di MELAKA, 25 mangsa banjir dari lima keluarga di Kampung Parit Penghulu, Sungai Rambai, Jasin telah dipindahkan di SK Parit Penghulu semenjak Rabu lalu berikutan Sungai Kesang telah melimpah dan mengalir masuk ke rumah mereka.

Di JOHOR pula, seramai 1,071 mangsa banjir dari 507 keluarga masih lagi ditempatkan di 22 pusat pemindahan banjir di negeri itu.

Menurut Portal MKN sekitar jam 11.30 pagi tadi, Batu Pahat merekodkan jumlah mangsa pemindahan yang paling ramai iaitu seramai 486 orang diikuti Segamat (432), Kota Tinggi (145) dan Ledang (tujuh).

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI