Peningkatan ibu muda di Malaysia membimbangkan

Friday, November 29, 2013

Peningkatan ibu muda dan remaja di Malaysia membimbangkan

Jumlah ibu muda yang semakin meningkat di Malaysia menimbulkan kebimbangan pertubuhan pembangunan keluarga tempatan dan antarabangsa.

Tahun lepas sahaja, lebih 18,000 remaja melahirkan anak di negara ini, 75 peratus daripadanya oleh remaja yang berkahwin dan selebihnya akibat perbuatan sumbang.

Wakil Tabung Penduduk Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNFPA) Malaysia Michelle Gyles-McDonnough berkata peningkatan jumlah ibu muda bererti semakin ramai wanita kehilangan peluang untuk mencapai potensi tertinggi masing-masing dalam kehidupan dan seterusnya meningkatkan kadar kemiskinan serta memberi kesan langsung terhadap ekonomi negara.

"Apabila seorang remaja perempuan berkahwin, ia akan mewujudkan pelbagai isu, daripada menamatkan  serta-merta peluangnya dalam pendidikan, menjejaskan peluang pekerjaan dan kerjaya pada masa akan datang, menariknya ke lembah kemiskinan dan mengehadkan kemampuannya untuk menyumbang kepada negara," kata beliau pada majlis pelancaran laporan Keadaan Penduduk Dunia 2013 "Menjadi Ibu Ketika Kanak-kanak: Menghadapi Cabaran Kehamilan Remaja" di sini pada Khamisi.

Beliau berkata oleh itu, wujud keperluan memberi pendidikan seks sewajarnya bagi mendidik masyarakat tentang pentingnya mencegah perkahwinan dan kegiatan seks ketika usia muda.

Gyles-McDonnough berkata pendidikan seperti itu terbukti dapat membimbing kanak-kanak supaya menangguhkan keinginan mereka untuk melakukan hubungan jenis dan tanggungjawab yang perlu mereka pikul akibat perbuatan masing-masing.

Katanya menyalahkan remaja perempuan bagi kehamilan yang berlaku dalam kalangan mereka sahaja tidak dapat menyelesaikan masalah kerana sebenarnya masyarakatlah yang perlu bekerjasama dengan penggubal undang-undang untuk mendidik golongan itu dan memberi peluang kepada mereka untuk memanfatkan potensi diri masing-masing dengan sepenuhnya.

Sementara itu, pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Tan Sri Napsiah Omar berharap anggota Parlimen memainkan peranan aktif dalam mendidik orang ramai supaya mencegah perkahwinan kanak-kanak di kawasan masing-masing.

Beliau berkata Malaysia perlu memberi perhatian terhadap isu ini kerana ia memberi kesan langsung terhadap masa depan negara.

"Sebagai negara membangun, isu ini perlu dibincang dan diselesaikan agar Malaysia tidak kehilangan pemimpin masa depannya," kata beliau sambil menambah bahawa penggubal undang-undang di negara ini perlu bertindak secara serius untuk mengubah persepsi rakyat Malaysia tentang perkahwinan kanak-kanak dan kehamilan remaja. ~ Bernama

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI