Motif pembunuhan pegawai kanan JAIP dipercayai dendam

Monday, November 11, 2013

Polis Pahang percaya kematian Ketua Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Allahyarham Mohd Raffli Abdul Malik yang ditembak semalam bermotifkan dendam.

Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifudin Ab Ghani berkata, polis percaya tiga suspek yang terlibat dalam kes pembunuhan tersebut mungkin berdendam atau tidak berpuas hati dengan Allahyarham dengan penguatkuasaan yang dijalankan.

"Bagaimanapun, polis sedang menyiasat dari pelbagai sudut sama ada ancaman di atas penguatkuasaan yang dijalankan arwah terhadap kes berisiko tinggi atau ada ancaman peribadi,” katanya kepada pemberita selepas upacara pengkebumian jenazah Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam di Jalan Bukit Ubi di sini hari ini.

Katanya, selain itu polis turut memberi kawalan keselamatan terhadap waris mangsa bagi memastikan mereka bebas daripada sebarang ancaman daripada pihak yang mungkin berdendam dengan mangsa.

"Pihak keluarga diminta bertenang dan banyakkan bersabar dengan dugaan ini, polis tidak akan sesekali memberi ruang kepada mereka yang terlibat dan kita akan buru suspek hingga ke lubang cacing,” katanya.

Mohd Raffli, 49, maut selepas ditembak tiga das oleh seorang daripada tiga suspek yang datang berjumpanya tengah hari semalam di kediamannya di Indera Mahkota 2 di sini.

Suspek kemudian melarikan diri menaiki kereta jenis Proton Wira Aeroback warna putih. - Bernama


0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI