Lelaki mengemis kerana kesunyian

Wednesday, November 27, 2013

Seorang pengemis warga emas tempatan berusia 71 tahun memberi alasan melakukannya kerana mahu menghilangkan bosan akibat kesunyian hidup.

Lelaki berkenaan yang ditahan di Taman Abad di sini, semalam juga didapati memiliki wang tunai RM187 hasil mengemis kurang sejam.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru Manayi Ibrahim berkata, siasatan mendapati lelaki terbabit pernah diselamatkan pihaknya kerana melakukan kegiatan sama.

"Operasi membanteras aktiviti mengemis ini bermula pada jam 7.30 petang hingga 9 malam semalam di dua pasar malam iaitu Taman Abad dan Kampung Melayu Majidee.

"Operasi dijalankan berdasarkan aduan ketua masyarakat di kawasan berkenaan. Hasilnya, kami menahan dua lelaki termasuk seorang orang kurang upaya (OKU) warga Kemboja," katanya di lokasi kejadian.

Menurut Manayi, warga emas berketurunan Tionghua itu mendakwa dia mengemis tanpa paksaan dan melakukannya kerana bosan tinggal di rumah.

Manayi berkata, lelaki terbabit turut mempunyai keluarga dan seorang daripada anak saudaranya pernah menjaminnya ketika diselamatkan sebelum ini.

"Kami juga yakin warga Kemboja itu pula dinaungi sindiket kerana dia yang berusia 53 tahun tidak memahami bahasa Melayu atau bahasa Inggeris," katanya.

Manayi berkata, kedua-duanya ditahan mengikut Akta Orang Papa 1977 dan kini diberi perlindungan sementara oleh JKM.

"Kami akan berusaha mengesan waris kedua-duanya untuk tindakan lanjut," katanya.

~ Harian Metro

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI