Keputusan Johor cuti Jumaat langkah produktif

Monday, November 25, 2013

Pengisytiharan cuti pada hari Jumaat dan Sabtu oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar memberi impak positif kepada rakyat Johor secara amnya. Langkah baginda mengisytihar cuti pada hari berkenaan amat bertepatan dengan apa yang difirmankan dalam surah Jumaat ayat 9.

Firman Allah dalam ayat itu menyebut, "Wahai orang yang beriman, apabila diseru untuk mengerjakan ibadah hari Jumaat, maka segeralah kamu mengingati Allah dan tinggallah jual-beli kerana yang demikian lebih baik jika kamu mengetahui ( hikmahnya )".

Hari Jumaat adalah penghulu segala hari. Pada hari berkenaan Allah SWT mengurniakan dan menawarkan pelbagai amal ibadat untuk hambanya.

Jika kita lihat senario pada hari ini, pekerja di sektor awam mahupun swasta terpaksa bergegas ke masjid apabila azan Zuhur berkumandang, malah ada yang tidak ke masjid untuk menunaikan solat itu dengan alasan waktu rehat yang singkat.

Di sini kita lihat, mereka kurang selesa. Begitu juga apabila selesai menunaikan solat Jumaat. Mereka terpaksa bergegas dan bersegera untuk masuk ke tempat kerja.

Apabila pengisytiharan ini dibuat, ia bukan saja memberi impak yang sangat positif kepada kebajikan pekerja Islam bahkan yang bukan Islam pun lebih selesa.

Suburkan sistem ekonomi

Langkah produktif ini sewajarnya dihargai dan dipuji kerana hikmahnya ia boleh menyuburkan lagi sistem ekonomi, pendidikan, dan pelbagai sudut di negeri tersebut.

Impak mungkin akan dilihat dalam tempoh enam hingga 12 bulan akan datang. Masyarakat di negeri Johor pastinya akan merasai perbezaannya nanti.

Antara yang lebih jelas ialah perbezaan dari sudut masa iaitu mereka akan lebih selesa bersama keluarga di rumah. Masyarakat Islam juga lebih senang untuk membuat amal kebajikan dengan lebih tenang dan selesa.

Peniaga misalnya boleh meraih keuntungan berlipat kali ganda terutama apabila Jumaat dan Sabtu diberikan cuti mingguan kerana ketika ini rakyat negeri ini boleh keluar berbelanja, manakala Sabtu dan Ahad pula mereka menunggu pelancong dari Singapura berbelanja di kedai mereka.

Mudah-mudahan langkah produktif di negeri tersebut akan membantu Malaysia mencapai wawasan 2020 sekali gus mencapai negara maju setaraf negara lain.

Mohamad Amli Ghazali
Johor Bharu

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI