Ikan, sayur diselaputi bahan kimia

Thursday, November 21, 2013

Kuala Lumpur: Ikan dan sayur yang sentiasa segar tanpa mengira masa di sebuah pasar raya terkenal, di sini, sebenarnya tersembunyi rahsia di sebaliknya.

Ikan segar dan sayur yang siap dibungkus dalam plastik kelihatan hijau setiap masa kerana dipercayai mengandungi bahan kimia yang tinggi bagi mengekalkan kesegarannya.

Kewujudan bahan kimia ini disedari berdasarkan pengalaman seorang pengguna yang mengadu tangannya sering terasa pedih setiap kali menyentuh ikan dan sayur yang dibeli dari pasar raya berkenaan.

Tangan pedih

Pengunjung tetap pasar raya itu, Masood Md Akid, 59, mendakwa beberapa kali menguji ikan dan sayur yang dibeli dari pasar raya berkenaan dan mendapati tangannya pedih seperti terkena bahan peluntur atau cili padi.

"Selalunya saya akan beli ikan kembung dan sayur sawi batang putih atau kubis Cina yang siap dibungkus di pasar raya berkenaan tetapi saya perasan setiap kali direndam dan dibasuh, tangan akan terasa pedih.

"Sayur yang direndam pula akan terasa melekit dan seperti ikan, airnya jika disentuh akan menyebabkan rasa pedih walaupun selepas direndam lebih sejam," katanya.

Masood berkata, beliau bimbang dengan tindakan pasar raya yang sanggup menggunakan bahan kimia berlebihan kerana kebanyakan pengunjung adalah peniaga kedai makan.

Jejas kesihatan

Katanya, jika ikan dan sayur berkenaan tidak dicuci bersih, bahan kimia itu dikhuatiri akan meninggalkan kesan kepada orang ramai yang memakannya.

"Sebagai pengguna, saya simpati dengan orang ramai yang makan di kedai makan yang membeli bahan dari pasar raya ini.

"Jika tidak dicuci dengan betul, bahan kimia ini akan meninggalkan kesan jangka panjang seperti sakit buah pinggang dan sakit saraf," katanya.

Kandungan pengawet tinggi

Pakar kimia Universiti Malaya, Prof Datuk Dr Mohd Jamil Maah, berkata bahan kimia yang dimaksudkan itu mungkin pengawet yang biasa digunakan, dikenali sebagai Formalin.

"Berdasarkan apa yang dialami pengguna, mungkin jari atau tangannya terkena bahan kimia yang dinamakan Formalin iaitu larutan formaldehid yang dicampurkan dengan air.

Penggunaan berlebihan berbahaya

"Formalin biasa digunakan sebagai pengawet dalam makanan. Mungkin kandungannya agak tinggi sehingga menyebabkan kepedihan kepada kulit dan lebih sensitif kalau ada sedikit luka," katanya.

Mohd Jamil berkata, lazimnya peniaga tidak menggunakan bahan ini secara berlebihan kerana berbahaya dan dilarang penggunaannya dalam makanan.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI