Sihir: Jauhi perkara khurafat dan syirik

Wednesday, October 02, 2013

Main Bomoh

"Saya pernah didatangi segelintir ahli politik sejak 2002 yang kononnya ingin mendapat perkhidmatan berasaskan Islam bagi membolehkan mereka terpilih pada hari penamaan calon, sekali gus bergelar wakil rakyat selepas pilihan raya.

"Pada 2004, saya pernah ditawarkan wang sebanyak RM120,000 oleh seorang ahli politik supaya namanya tercalon bagi pemilihan peringkat bahagian dan memenangi kerusi berkenaan, tetapi saya menolak," kata Exco Gabungan Persatuan Pengamal Perubatan Islam Malaysia (GAPPIMA), Ustaz Sharhan Shafie.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan muka depan Metro Ahad bertajuk, Main Bomoh, bertarikh 17 Februari 2008 mengenai fenomena ahli politik mendapatkan perkhidmatan bomoh bagi memenangi kerusi Pilihan Raya Umum ke-12.

Menurutnya, dia menyedari situasi `kelam-kabut' ahli politik yang sibuk mencari bomoh, malah temannya dalam GAPPIMA pernah dijadikan rujukan bagi tujuan berkenaan.

"Kebanyakan ahli politik yang mempercayai perkara khurafat ini ingin mendapatkan tangkal, cincin mahupun tali pinggang dianggap azimat dan membuatkan si pemakai nampak menarik pada mata pengundi.

"Setiap barang yang diwafakkan (ditulis nombor tertentu dan ayat al- Quran) dibahagikan mengikut warna dan bergantung kepada harga. Paling mahal adalah warna hitam diikuti merah, kuning dan paling murah, hijau.

"Azimat yang diwafakkan mempunyai beberapa bahagian, sama ada tulisan ayat kuno (tanpa mengira bahasa), bahasa tidak difahami, penggunaan rajah, nombor dan huruf, sama ada al-Quran atau abjad, kemudian dibungkus menggunakan kain berwarna kuning," katanya ketika dihubungi.

Beliau turut menegaskan, bukan semua azimat diwafakkan dan begitu juga sebaliknya. Kebanyakan barang yang dijadikan pelaris atau pendinding dijampi oleh bomoh menggunakan khidmatan jin dan dikenakan bayaran pengeras mencecah puluhan ribu mahupun ratusan ribu.

Bagi ahli politik yang cuba mendapatkan perkhidmatan, Sharhan menyarankan mereka memperbanyakkan doa dan melakukan kebaikan tanpa mengharapkan balasan, pasti masyarakat menghargai usaha dilakukan.

Nasihat Sharhan kepada masyarakat supaya menjauhi perkara khurafat, sebaliknya belajar, mendengar dan membaca ilmu bermanfaat, usah tergolong dalam kategori orang jahil dan paling penting, jangan mudah percaya pada bomoh hingga akidah pun terabai.

NOTA: Penggunaan azimat bertentangan dengan hukum syarak dan boleh menjejaskan akidah umat Islam.

ANTARA BARANGAN BERASASKAN KAYU DAN MINYAK YANG DISEDIAKAN BOMOH KEPADA BAKAL CALON PRU-12

* Sepah Gajah - pembisa supaya orang lain mendengar cakap calon.

* Kemenyan jampi - dibakar pada api rokok sebagai pendinding daripada ilmu halus yang cuba dikenakan kepada seseorang calon.

* Kayu penunduk - dipercayai dapat menjadikan orang mendengar arahan pemakainya.

* Ceneru gajah - kebal daripada buatan orang menggunakan ilmu hitam dan dipercayai boleh menjadikan pemakainya tidak lut senjata jika tahu cara penggunaan.

* Buah koka - mengelak gangguan makhluk halus yang biasa menjadi suruhan lawan untuk melakukan khianat.

* Minyak cenuai - supaya orang suka dan sentiasa ingat calon yang memakainya.

* Kayu campuran - buah rantai yang dihasilkan daripada tujuh jenis kayu iaitu remungai, sepah gajah, penunduk, koka, ceneru gajah, buluh tumpat dan Sula Bertam.

* Raja kayu - menguatkan semangat seperti orang yang berkuasa.

* Remungai - pendinding daripada perbuatan khianat musuh seperti santau atau ilmu hitam.

* Teras Remungai - pendinding ilmu hitam dan boleh mengembalikan ilmu jahat itu kepada musuh yang cuba mengenakan sihir.

* Kayu campuran - azimat yang dihasilkan daripada tujuh jenis kayu, termasuk Pemungai, Sepah Gajah, Penunduk, Koka dan Ceneru Gajah dijadikan bentuk silinder untuk dimasukkan ke dalam batang pen dan disematkan di poket baju bakal calon.

* Cincin - batu cincin biasanya diperbuat daripada kayu terpilih.

* Buluh Tumpat dan Sula Bertam - dipercayai boleh meningkatkan kekuatan dan tahan daripada serangan fizikal, selain menjadikan pemakainya lebih bertenaga.


0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI