Rahsia dan kelebihan buah delima (manfaat delima)

Monday, October 07, 2013

Rahsia dan kelebihan buah delima

Pesan orang tua, makanlah walaupun sebiji delima jika mahu mata anak bersinar indah dan inginkan bayi yang lahir sihat dan comel.

Hakikatnya, makan delima bukan saja sekadar petua lama kerana kini sudah banyak kajian kesihatan yang membuktikan buah ini sememangnya berkhasiat.

Walaupun kajian saintifik menghubungkan pemakanan delima akan memberi seri pada mata bayi tiada setakat ini, beberapa kajian kesihatan lain menunjukkan buah manis ranum ini memang terbukti menyihatkan.

Kajian diterbitkan dalam Proceedings of The National Academy Of Sciences, menemui jus delima dapat memerangi pengerasan arteri dan penyakit terkait seperti serangan jantung dan strok. Buah delima mencegah penumpuan plak di arteri dan dikatakan dapat meluruhkannya.

Kajian lain, Journal of Cardiology pula menemui, pesakit jantung koroner yang minum sari buah delima setiap hari selama tiga bulan menunjukkan peningkatan aliran darah ke jantung sekitar 17 peratus.

Buah yang dijual dengan harga sebiji RM6 sehingga RM10 di pasar malam atau pasar raya mengikut kualiti ini turut banyak terdapat di negeri Pantai Timur dengan harga lebih murah.

Lebih menarik, ada wanita mengandung yang sudah mengetahui, buah delima berkhasiat mengambilnya sepanjang kandungan berusia sembilan bulan.

Penyelidik berpendapat, ibu mengandung yang berisiko melahirkan anak dengan kelahiran pramatang elok mengambil buah berkenaan.

Melawan radikal bebas

Kekerapan mengamalkan pengambilan jus buah delima dapat membantu mengurangkan risiko bayi dalam kandungan mengalami kecederaan otak yang disebabkan oleh kadar pengaliran oksigen yang rendah di dalam darah.

Jus delima juga menjadi satu sumber bagi asid folik diperlukan bagi pembangunan yang bayi sihat. Ini kerana asid folik, komponen yang diperlukan dalam pembentukan sel darah merah dan DNA. Wanita yang mempunyai paras asid folik lebih tinggi ketika awal kehamilan berkemungkinan mempunyai bayi yang sihat.

Kajian menunjukkan, kandungan antioksidan dalam buah delima adalah dua atau tiga kali lebih tinggi berbanding anggur merah.

Malah, kualiti antioksidan juga dikatakan lebih baik daripada buah beri biru, kranberi serta oren kerana polifenol dalam buah delima juga lebih tinggi. Fungsi antioksidan dapat melawan radikal bebas yang dapat merosakkan sel dalam badan kita. Kerosakan sel akan menyebabkan pelbagai penyakit termasuklah barah, penyakit jantung dan alzheimer.

Lantas, apa kata dapatkan buah ini demi kesihatan bayi dan ibu mengandung kerana ada petua yang menyarankan ibu mengandung makan sebiji delima tanpa berkongsi dengan orang lain.

Ini berikutan, dalam sebiji delima, salah satu ulas delima mempunyai kualiti yang cukup tinggi khasiatnya. Apatah lagi rasanya sungguh manis dan rupanya juga cantik.

Manfaat delima

* Dapat menurunkan kadar kolesterol dalam darah. Penelitian dijalankan di American Journal of Clinical Nutrition, mendapati antioksidan dalam delima dapat mengurangkan oksidasi LDL (kolesterol jahat) pada tikus. Hal ini menurunkan kadar LDL dan meningkatkan HDL (kolesterol baik).

* Dapat mencegah dan mengubati barah. Buah delima memiliki khasiat mencegah dan mengubati pelbagai jenis barah. Jus delima dapat menghancurkan sel barah payudara dan mengaktifkan sel sihat. Ini kerana ekstrak biji delima kaya dengan polifenol yang berupaya memulihkan leukemia. Ia merencatkan barah paru-paru dan prostat.

* Ia merencatkan barah paru-paru dan prostat. Dalam penelitian terhadap 50 lelaki yang minum 205 gram jus delima setiap hari didapati melambatkan ukuran perkembangan barah prostat.

* Buah delima dikatakan mencegah dan melambatkan penyakit Alzheimer. Kajian ke atas tikus yang diberi minum jus delima dijalankan menunjukkan sel aktif meningkat.

* Kandungan gula dalam delima bertindak sebagai skrub untuk menyingkirkan sel kulit mati. Hasilnya kulit segar dan muda.

* Kulit buah delima boleh digunakan untuk menghilangkan jerawat. Kulitnya yang dijemur dikisar dan digunakan bersama sedikit air perahan limau nipis.

* Dapat menghilangkan kejang kaki yang biasa dihadapi wanita hamil.

* Bagi ibu mengandung, delima baik diambil kerana kandungan asid folik tinggi mencegah kecacatan tiub saraf yang menyebabkan kerosakan pada sumsum tulang belakang dan langit bibir sumbing pada bayi.

* Ketika membeli delima, pilih buah yang berat dan kulitnya bersih tanpa cela serta tidak merekah.

* Boleh dibeli banyak kerana ia tahan enam bulan dalam peti sejuk.

Oleh Nor Hatina Shuib

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI