Mukhriz Tewas, Tiada Pengundian Semula - Tajol

Sunday, October 20, 2013

Mukhriz Tewas, Tiada Pengundian Semula

Jawatankuasa Pemilihan Umno menolak gesaan untuk diadakan pengundian semula di tiga bahagian parti itu yang mencatatkan jumlah undi seri antara dua pesaing jawatan Naib Presiden Umno iaitu Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Mukhriz Mahathir.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno, Tan Sri Tajol Rosli Mohd Ghazali berkata, pengundian semula bagi kedua-dua calon tersebut tidak perlu diadakan berdasarkan jumlah undi yang diperolehi Hishammuddin berbanding Mukhriz.

Menerusi sidang media kira-kira pukul 1.40 pagi Ahad, Hishammuddin diumumkan menang tipis apabila memperoleh 100 berbanding Mukhriz yang mendapat 91 undi.

"Ada tiga bahagian mencatatkan jumlah undi sama. Tapi perbezaan antara 100 dan 91 undi ini adalah sembilan undi...maka kita tidak adakan pengiraan atau pemilihan semula," katanya.

Menurut Tajol, tiga bahagian yang disahkan mencatatkan keputusan seri antara Hishammuddin dan Mukhriz ialah Baling, Sempoerna dan Keningau.

Sebelum itu Mukhriz dilihat mengadakan pertemuan tertutup dengan Tajol di bangunan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sebelum sidang media keputusan rasmi dibuat.

Difahamkan pertemuan tersebut dibuat bagi membincangkan mengenai keputusan seri yang diperolehinya dan Hishammuddin di tiga bahagian tersebut.

Keputusan rasmi bagi saingan Naib Presiden menyaksikan status quo apabila kesemua penyandang sebelum ini berjaya mengekalkan penguasaan masing-masing.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diumum mendapat undi tertinggi iaitu 185 sementara Datuk Seri Shafie Apdal memperoleh 174 undi.

Sementara itu dua lagi calon Naib Presiden, Tan Sri Isa Samad dan Datuk Seri Mohd Ali Rustam masing-masing memperoleh tujuh undi. ~mstar

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI