Jangan terlalu berkira, pentingkan diri

Tuesday, October 22, 2013

Dalam hidup ini kita tidak boleh terlalu berkira kerana ibarat roda, ada
kala kita di atas dan tiba masanya dengan kehendak Allah, kita mungkin
berada di bawah. Pada saat itu, jika tidak bersedia berdepan perubahan,
kita bakal berdepan pelbagai konflik.

  Pastinya kita biasa dengar nasihat, apabila berada di atas, jangan lupa
mereka di bawah. Begitu juga apabila diberi rezeki lebih dan kesenangan,
jangan lupa berkongsi atau bantu mereka yang memerlukan.

  Zakat yang diwajibkan ke atas orang Islam membuka jalan kepada mereka
yang diberi Allah kelebihan rezeki untuk meringankan beban golongan tidak
berkemampuan. Zakat juga menjadi sumber menjana ekonomi, meluaskan peluang
pendidikan dan mengeluarkan manusia daripada kesusahan.

  Putaran kehidupan manusia mempunyai hikmah tersendiri. Sesiapa pernah
susah dan tiba-tiba diberi peluang membina kehidupan lebih baik akan mudah
memahami atau merasai keperitan dilalui mereka yang hidup dalam
kemiskinan.

  Keadaan itu menyedarkan mereka supaya tidak lupa diri seterusnya
bersedia berkongsi kesenangan dengan orang susah. Tidak dinafikan, ada
juga yang apabila sudah senang, mudah lupa diri. Harap-harap kita tidak
termasuk dalam golongan itu.

  Sebenarnya mereka yang terlalu berkira dalam hidup menutup pintu pahala
kerana sikap suka berkira menunjukkan orang itu tidak mempunyai semangat
bantu membantu atau bertolak ansur dan hanya mementingkan diri sendiri.
  Bersaing dalam perniagaan tidak salah tetapi apabila wujud perasaan
tidak mahu berkongsi, ini akan mengehadkan peluang orang lain untuk
berkembang. Bukannya rugi jika kita berkongsi pengetahuan malah kerjasama
boleh mengembangkan minda serta menggalakkan kreativiti.

  Dalam perniagaan, siapa yang ringan mulut, rajin mencari dan mencipta
peluang akan maju tetapi jika asyik berdengki atau cemburu dengan orang
lain, kita tidak akan ke mana. Silap-silap, perniagaan boleh gagal kerana
sibuk hendak menjatuhkan orang lain.

  Bekerja juga sama, khususnya membabitkan organisasi besar yang
memerlukan semangat kerjasama tinggi kerana bekerja secara berkumpulan
jika tiada semangat tolong menolong, boleh menimbulkan banyak masalah.

  Tidak hairan jika ada yang merasa dibuli, asyik-asyik aku, yang lain
tidak pula disuruh. Apabila kerja secara berkumpulan, setiap ahli perlu
bersedia untuk membantu apabila diminta dan jika rasa tidak mampu
melakukan semua tugas, jangan malu meminta pertolongan orang lain.

  Kata kunci ialah kerjasama dan jangan berkira. Lebih utama, melakukan
sesuatu itu dengan ikhlas kerana Allah. Hanya dengan niat serta kesedaran
itu, apa juga pekerjaan yang kita buat terasa lebih mudah serta bermakna.

  Memang susah hendak memuaskan hati semua orang tetapi itu bukan
penghalang bagi kita untuk berusaha dan sentiasa memperbaiki keadaan
menjadi lebih baik. Dalam hidup ini akan ada masa kita mengharapkan
pertolongan orang lain.

  Sebab itu apabila ada yang meminta bantuan, kita tidak boleh bersikap
terlalu berkira kerana takut nanti di saat kita memerlukan, orang lain
pula berkira dengan kita.

  Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Barang siapa melepaskan salah satu
kesusahan dunia daripada seorang mukmin, maka Allah akan melepaskan salah
satu kesusahan hari kiamat darinya. Barang siapa memudahkan orang yang
dilanda kesulitan, maka Allah SWT akan memudahkannya di dunia dan
akhirat." (Hadis riwayat Muslim)

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI