Jenayah cinta: Disimbah asid kerana cinta

Thursday, September 05, 2013

Kuala Krai: Dulu, dia pernah mengugut menyimbah asid kepada keluarga bekas teman wanita selepas cintanya terhalang, tetapi akhirnya, dia disimbah cuka getah oleh ahli keluarga bekas teman wanitanya sehingga parah di muka dan mungkin buta seumur hidup dalam kejadian di Kampung Temalir, Mengkebang, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 2 pagi, lelaki berusia 41 tahun itu dikatakan cuba menceroboh rumah bekas teman wanita berusia 21 tahun sebelum disimbah cuka getah oleh seorang ahli keluarga wanita berkenaan dipercayai bagi mempertahankan diri.

Difahamkan, mangsa dikatakan sempat menunggang motosikal 30 kilometer ke Hospital Kuala Krai sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu bagi mendapatkan rawatan.

Ahli keluarga bekas teman wanita mangsa yang menyimbah cuka getah itu kini ditahan untuk membantu siasatan.

Seorang ahli keluarga suspek berusia 30-an yang enggan namanya disiarkan mendakwa, lelaki itu cuba menceroboh rumah bertemu teman wanitanya yang tinggal bersama tiga ahli keluarga lain.

Tetapi, katanya, ahli keluarganya tidak membenarkan lelaki itu masuk ke dalam rumah kerana bimbangkan keselamatan keluarga.

"Berang tidak dibenarkan masuk, lelaki itu cuba masuk dengan mengumpil tingkap rumah berkenaan.

"Bagaimanapun, ahli keluarga yang panik dengan tindakan lelaki itu mengambil cuka getah dan menyimbah ke muka lelaki itu yang terjatuh dan menggelupur kesakitan sebelum melarikan diri," katanya kepada Harian Metro, di sini.

Dia mendakwa, lelaki itu sering mengganggu mereka sekeluarga selepas cintanya terhalang.

Menurutnya, bimbang dengan ugutan itu, dia membuat laporan polis April lalu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai Asisten Superintendan Nuraddin Din Wahab ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Beliau mengesahkan pernah menerima laporan daripada ahli keluarga bekas teman wanita mangsa yang mengugut mahu menyimbah asid kepada keluarga suspek.

"Kami menerima laporan mengenai kejadian daripada mangsa dan suspek juga ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan," katanya. ~ HM

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI