Kisah Hero untuk Hero Award (Anugerah Hero) 2013

Monday, July 08, 2013

Orang ramai dijemput menghantar coretan mengenai hero mereka sebagai tanda menzahirkan penghargaan kepada insan yang banyak berjasa hingga sanggup menggadai nyawa.

Kisah Hero itu yang seharusnya tidak mengenal batas kaum, akan disiarkan dalam akhbar termasuk Berita Harian yang mana enam coretan menampilkan kisah terbaik akan dipilih sebagai pemenang dan masing-masing akan membawa pulang tunai RM3,000 serta hadiah iringan.

Hero Award atau Anugerah Hero, adalah projek anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCCCI) dengan kerjasama akhbar Nanyang Siang Pau manakala BH dan Sunday Times sebagai akhbar rasmi.

Ahli Majlis KLSCCCI, Tan Tian Meng, berkata jawatankuasa penganjur akan memilih enam coretan mengisahkan hero mereka yang sanggup berkorban untuk menyelamatkan nyawa, termasuk menderma organ kepada insan lain.

"Penganjuran program ini adalah sebahagian usaha kami untuk menyemarakkan lagi perpaduan berbilang kaum menerusi kisah hero daripada pelbagai lapisan masyarakat," katanya.

Antara kisah hero yang boleh dipaparkan termasuk mengenai sifat ihsan seorang Melayu umpamanya yang sanggup mendermakan organ kepada seorang gadis China atau India yang memerlukan atau kisah seorang peniaga Melayu bersabung nyawa menyelamatkan perempuan Cina terperangkap dalam keretanya ketika dihanyutkan arus banjir kilat.

Jawatankuasa penganjur akan menerima coretan mulai Isnin ini hingga 16 Ogos depan. Panel pemilih akan memutuskan kisah hero terbaik menjelang 1 Oktober depan.

Semua enam kisah hero terbaik akan ditemuramah wartawan dan laporannya akan mula disiarkan dalam akhbar ini selama enam minggu mulai 28 Disember.

Selain itu, KLSCCCI yang meraikan sambutan ulang tahun ke-110 tahun depan turut menganjurkan projek 'Titian Perniagaan' bagi mencari enam syarikat tempatan yang memberi penekanan kepada etika perniagaan baik, mempraktikkan penyatuan nasional serta memiliki pekerja daripada berbilang kaum.

Kongsikan kisah hero dalam hidup anda bersama pembaca. Hubungi Veronica Cheong di 03-4253 2135 untuk maklumat lanjut dan faks Kisah Hero anda ke 03-4253 2524 atau emel ke inquiry@chinesechamber.org.my.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI