Perompak larikan mesin ATM di Johor

Friday, June 07, 2013

Mesin ATM lesap lagi!
Sekumpulan lelaki bertindak memecah masuk sebuah bank di Jalan Ros Merah di Taman Johor Jaya di sini, sebelum melarikan satu mesin pengeluaran wang automatik (ATM), dipercayai berisi wang lebih RM10,000 dalam kejadian awal pagi semalam.

Kumpulan penjenayah berkenaan dipercayai memecah masuk premis itu menggunakan pintu utama bank berkenaan memandangkan ia tidak berkunci.

Selain itu, kumpulan penjenayah berkenaan menyembur cat berwarna hitam pada tujuh kamera litar tertutup (CCTV) di dalam bank itu, sebelum mengeluarkan mesin ATM berkenaan dan melarikannya.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Superintendan Mohd Roslan Zainuddin berkata, pihaknya menerima panggilan berkaitan kejadian itu pada jam 5.50 pagi semalam.

Kami kurang pasti sama ada mereka mengikat mesin itu dengan tali dan menariknya menggunakan kenderaan lain kerana imej tidak jelas.

Rakaman CCTV bertukar malap dipercayai kerana dirosakkan dan hingga kini, kami belum menerima maklumat jumlah wang yang terdapat di mesin ATM itu, namun akan menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti suspek dalam kejadian itu, katanya.

Menurut Roslan, polis akan menjalankan siasatan sama ada kejadian itu didalangi penjenayah sama dengan beberapa kes pecah ATM di sekitar bandar raya Johor Bahru sebelum ini kerana ia menggunakan modus operandi hampir sama.

Difahamkan, premis yang menempatkan beberapa mesin ATM termasuk mesin deposit wang selama 24 jam di cawangan itu bagi memudahkan pelanggan berurusan di situ.

Dipercayai, mesin berkenaan menjadi sasaran kumpulan penjenayah selepas petugas bank memasukkan sejumlah wang di dalamnya, kelmarin.

Kejadian semalam berlaku selang 12 hari lalu apabila sekumpulan penjenayah melarikan RM400,000 daripada sebuah mesin ATM di pusat beli-belah di Aeon Jusco Jalan Pendidikan, Taman Universiti di sini, pada 26 Mei lalu.

Dalam kejadian itu, kumpulan penjenayah berkenaan cuba memecah tiga mesin ATM, namun hanya dapat melarikan wang daripada dua mesin.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI