Jerebu: 3 negeri diisytihar kawasan larangan pembakaran

Thursday, June 20, 2013

Selangor, Melaka dan Johor diisytiharkan kawasan larangan pembakaran terbuka mengikut Seksyen 29AA (2) Akta Kualiti Alam Sekeliling 2001, kecuali pembakaran mayat dan keagamaan, berkuat kuasa serta merta.

Serentak itu, semua pihak dinasihatkan tidak melakukan pembakaran terbuka atau membiarkan tanah atau premis kepunyaan mereka dimasuki atau diceroboh pihak tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran untuk tujuan tertentu atau tidak sengaja.

Ketua Pengarah JAS, Datuk Halimah Hassan, berkata arahan dikeluarkan itu dikuat kuasakan sehingga ke satu tarikh yang akan diberitahu kelak.

Katanya, mereka yang ingkar dengan melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Kompaun maksimum sebanyak RM2,000 juga boleh dikenakan atas setiap kesalahan, katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Perlu kerjasama

Beliau turut meminta orang ramai memberi kerjasama memadamkan kebakaran kecil dan melaporkan kes pembakaran terbuka kepada Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat di talian 999 atau 03-8888 0336 atau JAS di talian bebas tol, 1-800-88-2727.

Dalam kenyataan berasingan, Halimah juga dilaporkan sudah menulis surat kepada Kementerian Alam Sekitar Indonesia bagi menyatakan kebimbangan Malaysia terhadap peningkatan bilangan titik panas (hotspot) di Sumatera Tengah sehingga menyebabkan jerebu di negara ini sejak 15 Jun lalu.

Minta cegah kebakaran

Halimah berkata, Malaysia juga menggesa Indonesia melaksanakan segera tindakan pencegahan dan pemadaman kebakaran.

Sementara itu, rekod bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) JAS sehingga jam 5 petang semalam menunjukkan empat daerah di Johor, dua di Melaka serta satu di Selangor mencatatkan IPU tidak sihat dan semakin teruk berbanding bacaan kelmarin.

Stesen berkenaan adalah di Muar, mencatat IPU 172, Pasir Gudang (IPU 168), Kota Tinggi (IPU 166) dan Larkin Lama (IPU 152), manakala Bandaraya Melaka (IPU 161), Bukit Rambai (IPU 118) dan IPU 114 dicatatkan di daerah Banting (Selangor).

Sementara itu, lima stesen dikategori baik dengan bacaan IPU antara 0 dan 50 serta 39 lagi direkodkan pada tahap sederhana antara 51 hingga 100.

Beliau berkata, secara keseluruhannya, ada peningkatan bilangan kawasan mencatatkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat sehingga jam 5 petang semalam berbanding empat kawasan yang dilaporkan kelmarin.

Kebanyakan kawasan itu adalah di selatan pantai barat Semenanjung.

Punca kemerosotan kualiti udara masih dipengaruhi pencemaran jerebu merentasi sempadan berikutan musim Monsun Barat Daya yang sedang dialami negara masa kini dan dijangka berterusan sehingga September, kata kenyataan itu.

Katanya, Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan juga sudah digerakkan JAS, selain mempertingkatkan pelaksanaan Prosedur Tetap Operasi (SOP) bagi Program Pencegahan Kebakaran Tanah Gambut Yang Mudah Terbakar serta penguatkuasaan ke atas pelepasan asap dari kenderaan bermotor dan industri.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI