Potensi kerjaya alaf teknologi

Monday, May 20, 2013

Potensi kerjaya alaf teknologi


Dengan puluhan ribu mendapat kelulusan semua A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (dan jumlah ini terus bertambah setiap tahun), bidang pengajian tradisional seperti kedoktoran, undang-undang dan perakaunan, masih kekal mewarnai pemikiran sebilangan pelajar, malah ada masanya menimbulkan kontroversi apabila jumlah yang layak tidak seimbang dengan tempat ditawarkan.

Bagi pelajar ini (dan semestinya ibu bapa mereka), bidang berkenaan dianggap sebagai mampu memberikan pendapatan lumayan dan menaikkan harga diri seperti apa dipersoalkan Nyonya Mansur kepada Kassim Selamat yang hanya bekerja sebagai pemuzik, tanpa menyedari di sebalik pilihan kerjaya yang sudah menjadi seperti institusi itu, sebenarnya terbuka luas pilihan ruang pekerjaan yang berupaya memberikan pulangan kewangan setimpal dan pada masa sama kepuasan.

Alaf 21 menyaksikan perubahan dalam keperluan massa dan dengan peningkatan dalam teknologi yang mana dengan 'sekelip mata' akan ada pembaharuan, gaya hidup turut mengalami proses sama. Sana sini kita melihat betapa 'sibuknya' anggota masyarakat (termasuk anak kecil) dengan telefon pintar, tablet dan alat playstation mudah alih (PSP), begitu juga di kalangan wanita yang menitik beratkan penampilan diri bercakap mengenai produk kecantikan terbaru di pasaran yang dihasilkan kesan penyelidikan melalui teknologi nano juga keghairahan sebilangan anak muda meneroka ruang angkasa.

Kerajaan sedia infrastruktur selaras ETP
Gaya hidup baru inilah yang menawarkan peluang kepada rakyat negara ini untuk meraihnya, sementelah kerajaan sudah menyediakan infrastruktur berpadanan bagi membuka ruang anak tempatan mengisinya selaras Program Transformasi Ekonomi (ETP). Kerjaya yang memerlukan daya inovasi dan kemahiran teknologi tinggi ini selaras usaha menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi menjelang 2020 dengan sasaran Pendapatan Negara Kasar sebanyak RM48,000 selain penciptaan 3.3 juta pekerjaan dan pelaburan sebanyak AS$444 bilion.

Walaupun semua bidang ini masih baru di negara ini, namun pembangunannya melihatkan peningkatan yang sangat ketara. Pelatih Seni Teknikal Codemasters Studios Sdn Bhd, Ivon Smith, yang bertanggungjawab melatih anak tempatan dalam membangunkan permainan video, berkata potensi industri ini sangat hebat kerana Malaysia dilihat sangat berminat memajukannya.

Jika dilihat secara global, sejak 20 tahun lalu bidang permainan video semakin berkembang dan pada masa ini perolehannya mengatasi pendapatan gabungan industri muzik dan hiburan dengan sasaran untuk tiga tahun akan datang adalah AS$83 bilion dengan 55 peratus daripadanya untuk permainan video mudah alih, katanya.

Katanya, apa yang penting untuk seseorang menceburi bidang ini adalah minat dan di Malaysia, kerajaan, badan penyedia dana serta institusi latihan dan institusi pengajian tinggi memberikan sokongan dengan mengembangkan bakat yang ada selain memberi dana untuk pelaksanaan projek berdaya maju juga meningkatkan kesedaran bahawa bidang ini sebagai kerjaya yang memberikan pendapatan lumayan dan diperakui.

Smith berkata, dengan pereka bertanggungjawab menyediakan rangka permainan - rupa bentuk, tahap kemahiran pemain, cara bermain dan bagaimana permainan itu beroperasi; Artis pula menyiapkan kandungan meliputi grafik 2d dan 3d serta model, ia seterusnya berpindah kepada Animator yang menyediakan animasi elemen-elemen permainan berkenaan dan watak.

Ini seterusnya menjadi kerja juru program yang mencipta kod untuk membolehkan enjin permainan berfungsi yang juga landasan untuk semua kandungan bersatu dan berinteraksi dalam permainan juga juru kod yang membekalkan perisian untuk artis, pereka dan juru animasi untuk meningkatkan keupayaan mereka melakukan tugas diberikan.

Pembahagian ini jelas Smith, menunjukkan potensi dan betapa luasnya bidang ini untuk diterokai yang mana ia adalah gabungan beberapa kemahiran yang disatukan untuk membentuk satu permainan dan dengan pengalaman yang berbeza ia menawarkan peluang yang berbeza.

Enjin pembangunan ekonomi

Sementara itu, Naib Presiden Bersekutu Perhubungan Awam NanoMalaysia Berhad, Adam Ramskay, badan yang diwujudkan bagi membangunkan program teknologi nano, berkata walaupun penerimaan industri untuk bidang ini masih baru, namun kerajaan mengimpikan ia menjadi antara enjin pembangunan ekonomi pada masa depan.

Pasaran global teknologi nano dianggarkan sebanyak AS$3 trilion menjelang 2020 dan Malaysia menyasarkan mencapai satu peratus daripadanya dalam tempoh berkenaan dan sebagai sebuah produk masa hadapan teknologi nano memberi kesan yang tidak terkira kepada industri, ekonomi dan masyarakat

Adam berkata, dengan menkomersialkan hasil pembangunan dan penyelidikan saintis Malaysia ia dilihat sebagai menjana dan mengiktiraf kerja-kerja mereka bagi menjadikan ia realiti dan di pihak NanoMalaysia Berhad pula ia berharap dapat menyediakan landasan kepada anak tempatan untuk berkembang dan sebagai jalan pintas untuk teknologi yang dimajukan diterima industri bagi mencapai GNI dan mencipta pekerjaan.

Memandangkan Malaysia mempunyai industri farmaseutikal dan elektronik yang kukuh, kedua-dua bidang ini akan mendapat faedah daripada kemajuan teknologi nano. Menjelang 2020 diunjurkan 30 peratus produk global disepadukan dengan teknologi nano dan Malaysia berada di kedudukan kemuncak untuk mengeksploitasi peluang ini.

Dalam perkembangan sama, kejayaan Program Angkasawan Negara serta inisiatif kerajaan seperti penganjuran Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) dilihat sebagai pemangkin dalam menanam minda kejuruteraan aeroangkasa dalam kalangan masyarakat.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Universiti Kuala Lumpur, Profesor Dr Mazliham Mohd Su'ud, berkata kerjaya ini sedang berkembang pesat di seluruh dunia terutama di rantau Asia Pasifik dan negara masih kekurangan tenaga mahir dalam bidang ini dan ia adalah kerjaya yang menjanjikan pendapatan tinggi.

Peneraju aeroangkasa

Kehadiran UniKL Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT) yang juga satu-satunya institusi pendidikan tinggi (IPT) di Malaysia ditauliahkan Approved Training Organisation (ATO) oleh Jabatan Penerbangan Awam Malaysia mampu menjadi peneraju pendidikan aeroangkasa di Malaysia.

Kejayaan UniKL MIAT menjadi rakan industri kepada pemain utama dunia dalam bidang aeroangkasa seperti Eurocopter dan Dassault Aviation mengukuhkan lagi kedudukannya dan sedang merancang meluaskan lagi program ditawarkan bagi melahirkan tenaga mahir untuk memenuhi 'higher supply chain' dalam industri penerbangan dan aeroangkasa.

Antara kejayaan diraih pelajar UniKL setakat ini adalah, tiga pelajar yang menamakan kumpulan mereka Malaysia on Mars dipilih antara 5 pasukan dari 5 benua yang memasuki Pertandingan Akhir Airbus Fly Your Ideas pada 2011. Mereka dipilih di kalangan 315 pasukan pelajar dari 75 negara dan satu-satunya pasukan dari Asia Tenggara yang dipilih ke peringkat Akhir.

 Oleh Azran Jaffar

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI