Peristiwa Perang Tabuk di bulan Rejab

Thursday, May 23, 2013

Pengajaran peristiwa Perang Tabuk

Bulan Rejab satu daripada empat bulan suci yang membawa makna bulan yang dibesarkan atau dimuliakan. Rasulullah SAW mengharamkan pertumpahan darah dalam bulan Rejab. Terdapat banyak peristiwa penting berlaku dalam bulan Rejab antaranya Perang Tabuk.

Nama Perang Tabuk diambil sempena nama tempat di utara Semenanjung Arab, yang mana Rasulullah SAW dan 30,000 tentera Islam berkumpul. Perang ini juga peperangan terakhir Baginda Rasulullah SAW.

Perang Tabuk tidak berlaku sebarang pertempuran kerana tentera Rom melarikan diri berikutan terlalu takut dan gerun dengan kekuatan serta kecekalan tentera Islam yang sanggup menghadapi pelbagai kesukaran. Hal ini berpunca daripada ketamakan kerajaan Rom untuk memusnahkan kerajaan Islam pimpinan Rasulullah SAW.

Pengajaran Perang Tabuk
Banyak pengajaran berkaitan peristiwa Perang Tabuk perlu diketahui umat Islam seperti kisah tiga mukmin iaitu Ka'ab bin Malik, Mararah al Rabi' dan Hilal bin Umaiyah, yang enggan turut serta menghadapi musuh Allah sehingga Rasulullah SAW dan sahabat memulau mereka selama 50 hari.

Kisah peperangan ini menjelaskan bahawa umat Islam akan sentiasa berdepan pertembungan antara yang hak dengan batil. Ada kala, jiwa kita yang lemah mudah tergoda dengan ganjaran yang sedikit berbanding ganjaran lebih besar serta kekal di akhirat kelak.

Firman Allah SWT: Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu menjadikan bapa-bapa kamu dan saudara-saudara kamu sebagai orang yang didampingi jika mereka memilih kufur dengan meninggalkan iman dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka orang yang didampingi, maka merekalah orang yang zalim. (Surah at-Taubah, ayat 23)

Ketika Rasulullah SAW melancarkan persiapan ke Tabuk, keadaan Madinah sangat meruncing kerana dilanda kemarau, bekalan makanan berkurangan serta risau akan nasib keluarga yang perlu ditinggalkan.

Semua itu benar-benar menguji pertimbangan mukminin dalam mempersiapkan diri untuk pergi berperang. Perasaan berbelah bagi mungkin timbul kerana pengorbanan besar sangat diperlukan ketika itu.

Pada peristiwa Perang Tabuk, Ka'ab adalah seorang yang telah melanggar bai'ah (perjanjian taat setia) berjihad dengan Allah. Beliau meninggalkan jihad tanpa alasan dan ia satu kesalahan besar.

Ayat bai'ah berjihad terkandung dalam firman Allah SWT: Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan), bahawa mereka akan beroleh syurga (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (kitab-kitab) Taurat dan Injil, serta al-Quran dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual belinya itu dan (ketahuilah bahawa) jual beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar. (Surah at-Taubah, ayat 111)

Surat jemputan khas

Antara sebab Ka'ab melanggar bai'ah kerana menerima surat jemputan khas daripada Raja Ghassan (kerajaan kafir yang kuat di Semenanjung Arab) untuk menyertai mereka dan dijanjikan pelbagai habuan.

Pihak musuh Islam cuba memecahkan saf Muslimin dengan menghasut mereka yang dalam keadaan tersepit seperti Ka'ab supaya membelot. Mereka yang lemah iman atau gopoh sudah tentu mudah terpengaruh.

Ka'ab sebaliknya memandang pelawaan itu sebagai ujian istimewa daripada Allah khas untuknya. Kaum Ka'ab iaitu Bani Salamiah menasihati Ka'ab supaya memberi alasan untuk melepaskan diri, sekalipun mereka berniat ikhlas dan sebahagiannya daripada pasukan jihad Islam yang pulang dari Tabuk.

Mereka menasihati Ka'ab supaya memberikan alasan dan membaiki kesilapan itu pada masa depan. Namun, Ka'ab memilih jalan taubat dan berkata Akulah orang yang paling pandai dalam memberi alasan jika aku mahu ketika peristiwa itu. Kesilapan berlaku sesekali dan jalan keluarnya ialah dengan bertaubat, bukan dengan memberi alasan.

Ditekankan juga kepentingan berkata benar kepada diri sendiri dan pemimpin. Jawapan Rasulullah SAW selepas Ka'ab akui kesilapannya tanpa cuba memberi alasan: Inilah dia orang yang jujur.

Secara tidak langsung Rasulullah SAW menyangkal perbuatan munafiqin yang cuba memperbodohkan Rasulullah SAW dengan alasan mereka.

Inilah contoh keteguhan peribadi Ka'ab ketika menjalani hukuman walaupun dugaan begitu berat seperti tidak dijawab salamnya oleh mukminin, termasuk sahabat paling rapat dengannya serta pemulauan mutlak oleh Rasulullah SAW dan sahabat.

Walaupun dalam tempoh hukuman, Ka'ab tidak mengeluh atau cuba untuk berunding meringankan hukumannya. Sebaliknya, beliau cuba untuk memastikan beliau mematuhi perintah hukuman dengan sepenuhnya.

Contohnya, apabila diberitahu beliau perlu diasingkan daripada isterinya bermula malam ke-40, Ka'ab bertanya sama ada arahan itu memerlukannya menceraikan isteri atau hanya diasingkan (akan diceraikan jika perlu).

Isterinya menawarkan diri untuk datang sesekali menguruskan makan pakainya dalam tempoh pengasingan itu, tetapi disuruh oleh Ka'ab supaya jauhkan diri sehingga perintah mengatakan sebaliknya.

Oleh itu, kita sebagai hamba-Nya hendaklah cuba sedaya upaya menerima hukuman dan ujian Allah dengan reda serta menjauhi pengaruh emosi berlebihan kerana selalunya pertimbangan kita cenderung untuk salah ketika dikuasai perasaan.

Oleh Nur Adibah Mohd Din

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI