Shahrizat kesal tindakan Kamilia

Sunday, April 21, 2013

Shahrizat kesal tindakan Kamilia   

Berikut ialah kenyataan akhbar Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengenai tindakan Naib Ketuanya, Datuk Kamilia Ibrahim bertanding calon Bebas Parlimen Kuala Kangsar.

Saya selaku Ketua Wanita Barisan Nasional (BN) merangkap Ketua Wanita UMNO, serta semua ahli rasa teramat kesal dan kecewa atas tindakan Datuk Kamilia bertanding tiket Bebas di Parlimen Kuala Kangsar setelah beliau menolak tawaran BN untuk bertanding kerusi DUN Bukit Chandan seperti yang diperjelaskan oleh YAB Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO pada 18 April 2013.

Datuk Kamilia telah buat keputusan ini dengan sendiri, sekaligus melanggar peraturan disiplin UMNO serta BN dan akan menghadapi tindakan tegas seperti yang diumumkan oleh Pengerusi BN dan Timbalan Pengerusi BN.

Kemas kini sistem

Selama empat tahun, saya telah tentukan dan mengemaskinikan satu sistem jentera wanita pilihan raya umum yang sistematik dan mantap untuk Wanita UMNO dan Wanita BN, termasuk untuk menghadapi apa juga situasi yang luar biasa.

Jentera Wanita ini yang dinamakan Jentera Jalinan Rakyat (JR) telah bertugas di semua peringkat, terutama akar umbi dengan baik, penuh komitmen dan kesetiaan kepada perjuangan parti walaupun menghadapi pelbagai cabaran, termasuk tidak dapat peluang untuk menjadi calon. Ini adalah kerana perjuangan mereka ikhlas, tidak pentingkan diri dan sabar dalam perjuangan.

Jentera Jalinan Rakyat akan berjalan dengan penuh disiplin tidak kira sesiapapun yang membelot atau mengkhianati parti kerana kepentingan diri sendiri.

Jentera Jalinan Rakyat di Kuala Kangsar berjalan dengan baik di bawah kepemimpinan Naib Ketua Wanita UMNO bahagian, yang selepas ini akan memangku jawatan Ketua Wanita UMNO Kuala Kangsar.

Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada kepemimpinan dan semua ahli Wanita UMNO Kuala Kangsar kerana pada saat mereka diduga, mereka menunjukkan semangat kesetiaan tidak berbelah bagi kepada UMNO dan BN, terutama ketika sibuk buat persediaan hadapi PRU-13 ini.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI