PRU13 - Ketepikan cita-cita peribadi

Thursday, April 04, 2013

Ketepikan cita-cita peribadi

Nama Tan Sri Rafidah Aziz, bukan asing lagi sama ada di dalam atau luar negara. Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu mengambil keputusan untuk tidak bertanding setelah mula menyandang kerusi Parlimen sejak 1974. Ikuti temubual wartawan BH, NORFATIMAH AHMAD dengan bekas Ketua Wanita UMNO itu mengenai strategi dan pendekatan yang perlu diambil BN menjelang PRU-13, selain peranan kepemimpinan di peringkat akar umbi bagi menjamin kemenangan majoriti dua pertiga.

S: Setiap kali pilihan raya, kemenangan majoriti besar menjadi impian setiap parti politik dan BN. Pada pandangan Tan Sri, bagaimana kedudukan BN ketika ini dan apakah pendekatan yang perlu diberi penekanan serta peranan kepemimpinan semua peringkat untuk merealisasikan hasrat itu.

J: Jentera pilihan raya BN akar umbi sudah lama bergerak, oleh itu ada masa untuk kita perbaiki sebarang kelemahan yang dikenal pasti sebelum tibanya hari mengundi PRU-13. Jika itu asasnya, tentu semua akan berjalan lancar kerana yang penting adalah untuk kita menang banyak dan mencapai majoriti dua pertiga. Strategi untuk menang besar pada PRU kali ini tidak lain ialah memastikan kita dapat menang (semula) semua kerusi yang kita kalah pada 2008, sama ada Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN). Jika ia berlaku, baru kita dapat dua pertiga Parlimen, sekali gus dapat menubuhkan kerajaan yang kukuh. Jadi bagi yang bertanggungjawab menjaga kawasan masing-masing, laksanakanlah tugas dengan sepenuh hati. Jika sebelum ini kita kalah 45 undi, pastikan kali ini kita menang majoriti lebih 100 undi. Pada masa sama, bagi kawasan yang sudah lama kita kalah seperti di Kelantan, seboleh-bolehnya kita kurangkan majoriti, begitu juga di Kedah.

S: Selepas menempuhi 12 pilihan raya umum, pada pemerhatian Tan Sri apakah cabaran dihadapi BN kali ini.

J: Pengundi baru dan muda yang majoritinya menggunakan media sosial, itulah yang saya lihat cabaran masa kini. Jangan lupa kaedah interaksi menggunakan media sosial ini walaupun ia cara terkini, tetapi ia tidak dapat menandingi kaedah bersemuka yang diamalkan sejak sekian lama. Perlu diingat, komunikasi empat mata dengan rakyat ada kesan lebih mendalam sebab ada masanya rakyat nak tengok mata kita bila bercakap, cara bercakap dan gerak tubuh kita. Mendekati rakyat terutama pengundi muda dan baru ini secara bersemuka memang tidak dapat dinafikan adalah sentuhan peribadi paling berkesan dan penting diterapkan dalam gerak kerja jentera PRU BN. Walaupun anak muda dekat dengan twitter atau tweet, jika PM yang tweet tentunya ia sesuatu yang dinanti-nantikan sesiapa saja kerana beliau pemimpin tertinggi dan terkenal.

S: Setiap kali pilihan raya, pasti berlaku tindakan mensabotaj parti dan dalangnya sering kali dalam kalangan pemimpin yang gagal dipilih sebagai calon juga penyokong mereka. Malah, sejarah membuktikan tindakan sabotaj itu menjadi punca kekalahan BN.

J: Memang la, walaupun sering ucapkan nak berkhidmat untuk bangsa, agama dan negara, selain taat kepada parti, tetapi semuanya bagaikan tidak lagi penting apabila gagal terpilih sebagai calon hingga mendorong untuk mensabotaj parti. Semuanya kerana menganggap diri mereka masih layak walaupun sebenarnya pucuk kepemimpinan parti lebih arif kriteria calon yang diinginkan untuk menjamin kemenangan. Oleh itu, penting setiap individu yang tidak disenaraikan sebagai calon menolak perasaan dan cita-cita besar peribadi, sebaliknya menyokong parti. Kalau tak sokong sekali pun, jangan sabotaj, kalau tak mahu ke ceramah, duduk saja kat rumah tetapi jangan sekali-kali sabotaj parti dan bila tiba hari mengundi, undilah BN. Perlu diingat, perbuatan mensabotaj lebih teruk daripada tidak mengundi, jadi janganlah bertindak mengikut perasaan.

S: Rekod pencapaian BN memang diketahui terutama menerusi pembentangan Dasar Transformasi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini. Apakah ia juga dilihat sebagai senjata berkesan untuk BN menghalang kemaraan pembangkang.

J: Kita menanam hasrat untuk mendirikan Kerajaan Pusat dan mentadbir negara dengan berkesan dan cekap terutama daripada segi ekonomi, politik, pentadbiran dan pengurusan negara walaupun dalam keadaan dunia yang mencabar. Ini menunjukkan iltizam BN untuk terus berkhidmat kepada rakyat. Oleh itu, rakyat perlu jelas bagaimana di negeri yang pembangkang menang, pentadbirannya tidak dapat dijalankan dengan baik. Malah, masih kurang kemampuan dari segi pentadbiran dan di sini, rakyat perlu sedar supaya tidak sewenang-wenangnya menyerahkan kuasa politik kepada pihak yang tidak berkemampuan dalam pelbagai aspek ini. Sudah sekian lama BN bina negara ini, sejak merdeka lagi selain mengharungi krisis ekonomi dan kini kita di landasan yang betul. Jangan pula biarkan pencapaian baik negara ini dibiarkan musnah begitu saja kerana alasan remeh nak tukar selera.

Kesinambungan kepemimpinan kerajaan BN penting untuk menyambung pembangunan negara bagi jangka panjang. Hakikatnya, pencapaian negara dan kerajaan menerusi dasar transformasi seperti Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) adalah yang paling berkesan untuk menyedarkan rakyat mengenai manfaat yang diperoleh daripada perancangan itu. Setiap dasar dirangka, ada sasarannya dan itulah tugas yang perlu dijalankan `gurkha' BN dalam kalangan pemimpin akar umbi untuk menerangkan pencapaian dan sasaran yang perlu dicapai bagi memastikan rakyat terus menikmati manfaat. Memang PM akan cakap mengenai hal sama tetapi `gurkha' perlu terangkan apa sebenarnya transformasi dan bagaimana ia dapat beri kesan kepada kehidupan rakyat di kawasan masingmasing terutama rakyat yang tidak mempunyai akses kepada media massa. Dasar kerajaan BN selama ini perlu berulang kali diterangkan kepada rakyat supaya mereka jelas dengan menterjemahkan pencapaian negara secara realiti, apa sebenarnya GTP, ETP, NKRA (Bidang Keberhasilan Utama Negara) dan bagaimana semua itu membawa kebaikan kepada rakyat, selain mendekati rakyat supaya lebih faham dan terus menerima BN.

S: Berdasarkan pengalaman politik Tan Sri yang tidak ternilai selama ini, apakah mesej yang boleh disampaikan kepada kepemimpinan negara dan pengundi keseluruhannya.

J: Pada saat ini selepas Parlimen dibubarkan, kepada pemimpin ingin saya ingatkan bahawa ketika ini bukan lagi masa nak berucap, jangan banyak berucap tetapi apabila ceramah, yang penting terangkan kepada rakyat apa yang mereka musykil selama ini, jelaskan isu yang timbul sepanjang PRU. Kebiasaannya, semakin hampir PRU, pelbagai fitnah akan dilemparkan, semuanya kerja orang bacul. Jadi perlu dijelaskan dengan sebaiknya kepada rakyat, tetapi jangan pula kutuk orang tetapi terangkan saja apa yang kita buat selama ini berulang kali kerana kekuatan BN terletak pada fakta dan rekod pencapaian selama ini. Kepada pengundi pula, ingatlah dan fikirkan masa depan anak cucu. Jangan tersinggung dan hanya kerana tidak puas hati kepada pihak tertentu terus bertindak menukar kerajaan kerana keputusan itu boleh memberi kesan jangka panjang untuk semua.

TAN SRI RAFIDAH AZIZ
Bekas Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri

~ BH

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI