Kontroversi mewarnai PRU-13

Sunday, April 21, 2013

Kejutan, kontroversi mewarnai PRU-13

Seperti dijangkakan, hari penamaan calon sempena Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) semalam, diwarnai pelbagai kejutan dan kontroversi, sama ada di pihak Barisan Nasional (BN) atau pembangkang.

Secara keseluruhannya, selepas hari penamaan calon ditutup, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan 579 calon layak bertanding bagi kerusi Parlimen.

Seramai 221 calon itu mewakili BN, Parti Keadilan Rakyat atau PKR (99), PAS (73), DAP (51), Bebas (79), Parti Reformasi Negeri atau STAR (28), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia atau BERJASA (sembilan), Parti Maju Sabah atau SAPP (lapan) dan Parti Pekerja Sarawak atau SWP (enam).

Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) dan Parti Cinta Malaysia (PCM), masing-masing bertanding dua kerusi Parlimen, manakala Parti Bersatu Sasa Malaysia (BERSAMA) satu kerusi Parlimen.

Bagi kerusi DUN, SPR mengesahkan 1,320 calon layak bertanding merangkumi calon BN seramai 505 calon, PAS (236), PKR (172), DAP (102), Bebas (190), STAR (49), SAPP (41), BERJASA (lima), KITA (11), BERSAMA (empat), PCM (tiga) dan Parti Sosialis Malaysia atau PSM (dua).

Calon paling ramai

Angka itu menjadikannya jumlah calon paling ramai akan bertanding dalam sejarah PRU negara sejak 1959.

Antara calon yang bertanding ialah Perdana Menteri, yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak di Parlimen Pekan. Beliau akan ditentang Ketua Angkatan Muda PKR Terengganu, Fariz Musa.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga penyandang Parlimen Permatang Pauh, akan ditentang bekas Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Dr Mazlan Ismail (BN) dan calon Bebas, Dr Abdullah Zawawi Samsudin, 45.

Sementara itu, pelbagai kejutan dan kontroversi timbul pada hari penamaan calon semalam. Antara yang menarik perhatian ialah tindakan beberapa pemimpin atau ahli BN dan pembangkang bertanding atas tiket Bebas.

Ia ditambah pula dengan keterujaan individu, sama ada orang itu ahli biasa atau penyokong parti, termasuk mereka yang tidak menjadi ahli kepada mana-mana parti, mencuba nasib bertanding dalam PRU kali ini.

Ia termasuk tiga artis yang disahkan bertanding, iaitu Wan Aishah Wan Ariffin atau Aishah di Parlimen Jempol, Dayangku Intan Tengku Abdul Hamid (Parlimen Pengerang, Kota Tinggi) dan Masrun Tamsi atau Herman Tino (Parlimen Tanjong Karang).

Calon paling tua di Terengganu dan mungkin di seluruh negara pada PRU-13, Maimun Yusof, 93, sekali lagi bertanding sebagai calon Bebas untuk Parlimen Kuala Terengganu.

Tindakan cetus kontroversi

Turut mewarnai hari penamaan calon ialah ada calon menarik diri, pertembungan sesama komponen pembangkang dan pertandingan melebihi lima penjuru di sesebuah kerusi, sama ada peringkat DUN atau Parlimen.

Sudah semestinya, kontroversi yang menjadi bualan seluruh negara sepanjang tempoh kempen ini ialah keputusan bekas Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Kamilia Ibrahim dan bekas Ketua UMNO Bahagian Tasek Gelugor, Datuk Seri Mohd Shariff Omar bertanding atas tiket Bebas.

Tindakan kontroversi Kamilia itu dipercayai pertama kali berlaku dalam sejarah penubuhan UMNO dan BN sekali gus mencatat sejarah Naib Ketua Wanita UMNO pertama menentang keputusan pucuk pimpinan parti.

Namun, pepatah ada menyebut 'tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu.' Kamilia akan menentang calon BN, Datuk Wan Mohammad Khairil Anuar Wan Ahmad dan calon PAS, Dr Khalil Idham Lim Abdullah.

Di Parlimen Pasir Mas, tindakan kontroversi calon BN, Che Johan Che Pa menarik diri pada saat akhir dengan tidak menyerahkan borang pencalonan kepada Pegawai Pengurus di pusat penamaan calon juga menjadi kejutan.

Penganalisis berpendapat, tindakan Che Johan itu memang sudah dijangka sebagai strategi untuk membolehkan penyandang Parlimen itu, Pengerusi Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Datuk Ibrahim Ali untuk terus mempertahankan kerusi itu dalam menghadapi tentangan anak Mursyidul Am PAS, Nik Abduh Nik Aziz dalam pertandingan satu lawan satu.

Namun, kontroversi sama dan lebih hebat daripada itu turut melanda komponen pakatan pembangkang kerana apa yang pasti, ada parti pembangkang bertanding sesama sendiri, sama ada di kerusi Parlimen atau DUN.

Dalam pada itu, calon DAP pula terpaksa membawa dua surat watikah daripada parti itu dan PAS ketika penamaan calon kerana bimbang pencalonan ditolak berikutan krisis pentadbiran parti itu.

Sementara itu, berdasarkan maklumat SPR, pertembungan sesama komponen pakatan pembangkang berlaku di Parlimen Labuan apabila calon PKR, Tan Sri Ibrahim Menudin akan menentang calon PAS, Hadnan Mohamad. Calon BN di situ ialah Rozman Isli (BN).

Bagi kerusi DUN pula, DUN Kota Damansara, yang berlaku pertandingan enam penjuru menyaksikan PAS dan PKR bertembung bersama empat lagi calon, termasuk dari BN. Calon PAS di kerusi DUN berkenaan ialah Ridzuan Ismail manakala Mohd Nasir Hashim mewakili PKR.

Turut berlaku pertembungan sesama pembangkang ialah di DUN Sungai Acheh, menyaksikan calon PKR, Badrul Hisham Shaharin atau Chegu Bard (PKR) bertembung calon PAS, Mohd Yusni Mat Piah. Kedua-duanya akan menentang calon BN, Mahmud Zakaria.

Situasi sama juga turut berlaku di tiga DUN di Terengganu iaitu Kota Putera, Seberang Takir dan Bukit Besi. Turut berlaku pertembungan sesama pembangkang ialah di DUN Panti, Kota Tinggi, Johor membabitkan calon PAS, Azlisham Azahar dan calon PKR, yang juga bekas Ketua Perhubungan PKR Negeri Johor, Mohd Annuar Mohd Salleh menentang calon BN, Datuk Baderi Dasuki.

Terima surat pemecatan

Bagi BN, ahli yang membuat keputusan bertanding atas tiket Bebas akan menerima surat pemecatan pada Isnin ini, seperti ditegaskan Pengerusinya, Datuk Seri Najib Razak.

Selain BN, DAP juga bertegas akan memecat mana-mana ahlinya yang bertanding atas tiket Bebas pada PRU-13, seperti diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP, Tan Kok Wai.

PAS juga akan merujuk ahli atau pemimpin mereka yang bertanding sebagai calon Bebas kepada Jawatankuasa Disiplin parti sebelum tindakan tegas dikenakan, termasuk melucutkan keahlian.

Walaupun begitu, peningkatan jumlah calon bertanding, termasuk Bebas dalam PRU-13 menunjukkan sistem demokrasi berpolitik di negara sentiasa subur dan diterima masyarakat.

Di sebalik kisah ahli BN dan pakatan pembangkang bertanding atas tiket Bebas, turut mencuri perhatian ialah tiada kerusi Parlimen atau DUN yang dimenangi tanpa bertanding oleh mana-mana parti yang bertanding.

Lebih lima penjuru

Ada beberapa kerusi yang menyaksikan berlaku pertandingan melebihi lima penjuru seperti di DUN Sulabayan dan Parlimen Kalabakan, Sabah, yang bakal menyaksikan pertandingan tujuh penjuru.

Sementara itu, sembilan kerusi DUN dan satu Parlimen menyaksikan pertandingan enam penjuru iaitu lima di Sabah, Selangor (dua) dan masing-masing satu di Pulau Pinang (DUN Machang Bubuk) serta Kedah (DUN Sidam).

Berdasarkan pencalonan disahkan SPR, sekurang-kurangnya 35 kerusi Parlimen dan lapan kawasan DUN di Semenanjung dijangka menjadi tumpuan pada PRU kali ini.

Apa yang diharapkan, setiap parti dan calon yang bertanding akan berkempen secara sihat dan matang, manakala pengundi berfikir secara rasional dalam memilih calon pada hari mengundi 5 Mei ini.

Oleh Anwar Patho Rohman

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI