Bahaya Ubat Tiruan : Membunuh Dalam Senyap

Thursday, April 18, 2013

Ubat tiruan pembunuh senyap

Ubat-ubatan tiruan semakin berlambak di pasaran kerana ia mampu memberi keuntungan berlipat kali ganda kepada penjenayah terancang ini.

Dengan kos yang sangat kecil untuk pengeluaran ubat tiruan atau palsu, perdagangannya sangatlah menarik dan menguntungkan. Di sebalik keuntungan sesetengah pihak, kegiatan ini sebenarnya memudaratkan kesihatan pengguna ubat tiruan.

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mendefinisikan ubat tiruan sebagai produk tiruan yang disengajakan dan berlakunya penipuan label, pengenalan untuk menjadikannya seakan-akan yang tulen. Ini termasuklah kandungan dan kuantiti yang salah serta pemalsuan pembungkusan.

WHO menganggarkan sebanyak enam hingga sepuluh peratus iaitu bersamaan USD 35 bilion (RM 121.36 bilion) ubat -ubatan yang berada di pasaran dunia adalah tiruan . Angka tersebut adalah lebih tinggi di beberapa negara terutamanya di negara-negara sedang membangun di seluruh dunia.

Statistik rampasan ubat tidak berdaftar oleh penguatkuasa Bahagian Perkhidmatan Farmasi, kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2011 adalah sebanyak 344 produk ubat-ubatan tiruan daripada 17,768 jumlah rampasan.

Melalui pengalaman bahagian Penguatkuasa Farmasi, jenis ubat tiruan yang popular ialah ubat perangsang seks, ubat menguruskan badan, ubat sakit sendi, ubat mengurangkan lemak, ubat untuk mengawal alahan, gatal-gatal dan ubat selesema serta batuk.

Ketua Penolong Pengarah Farmasi (Kuatkuasa), Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia, Mazlan Ismail memberitahu, pemalsuan dilakukan apabila produk tiruan itu menggunakan jenama dan produk yang sama dan menjualnya dengan nama produk tulen atau asal tanpa pengetahuan pengeluar produk tulen. Ubat tiruan ini menyerupai ubat tulen yang sememangnya telah diuji serta diluluskan untuk digunakan oleh masyarakat Malaysia.

" Ubat tiruan tersebut boleh dianggap sebagai parasit kerana menggunakan label serta nama dagangan yang sama dengan penyediaan tulen tetapi dikilangkan di premis yang tidak diluluskan serta menggunakan bahan mentah yang tidak berkualiti," jelasnya

Risiko penyakit Menurut Mazlan, ubat tiruan dikatakan berbahaya kerana boleh mengakibatkan peningkatan kos rawatan dan menghidap penyakit lambat atau sukar sembuh . Pengguna turut terdedah kepada bahaya bahan racun terkawal atau bahan tercemar.

Keadaan ini boleh menyebabkan seseorang itu terdedah kepada risiko menghidapi pelbagai penyakit seperti masalah buah pinggang, tulang rapuh, darah tinggi dan lumpuh.

Ini kerana ubat tiruan yang mengandungi logam berat dan bahan asing yang tinggi boleh merosakkan buah pinggang pengguna.

"Walau bagaimanapun, organ ini tidak akan menunjukkan sebarang masalah atau kemerosotan sehinggalah hanya tinggal sebahagian kecil sahaja yang masih berfungsi. Sekiranya ini terjadi, kemungkinan besar organ tidak dapat diselamatkan lagi," katanya.

Lebih teruk, kesan ubat tiruan itu turut boleh mengakibatkan gangguan pemikiran otak. Kegagalan fungsi otak akibat pengambilan ubat tiruan boleh menyebabkan seseorang itu sukar untuk mengawal pergerakan tubuh mereka walaupun pergerakan yang kecil seperti menulis.

Ubat -ubatan tiruan sebenarnya tergolong dalam kategori racun yang boleh membawa maut kerana mengandungi bahan-bahan merbahaya seperti merkuri dan arsenik.

Sebagai contoh, jika seseorang itu mengambil ubat batuk tiruan yang mengandungi steroid, kesan yang mungkin dihadapi ialah tulang rapuh, muka bengkak dan darah tinggi.



Berdaftar

Mazlan seterusnya menjelaskan Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan melalui Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan bertanggungjawab melalui peruntukan undang-undang mendaftar semua produk farmaseutikal yang ingin dipasarkan.

"Pada dasarnya semua produk farmaseutikal yang didaftarkan adalah selamat, berkualiti dan berkesan. Sikap tamak haloba serta tidak bertanggungjawab di kalangan segelintir masyarakat ini boleh menyebabkan kesihatan pengguna terjejas atau pengguna menghadapi risiko maut," jelasnya.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI