Kem Remaja Addin siri 5

Thursday, March 14, 2013

Kem Remaja Addin siri 5
Kem Remaja Addin Harian Metro siri 5 akan mengadakan program Belaian Kasih membabitkan ibu bapa dan pelajar pada 25 Mac ini.

Program yang bermula kira-kira jam 2 petang di Melaka Tropical Fruit Farm itu akan memberi peluang ibu bapa dan anak-anak bermuhasabah untuk melihat kelemahan diri masing-masing.

Moderator Kem Remaja Addin Datuk Mohd Zawawi Yusoh berkata, selama ini perbalahan yang berlaku di antara ibu bapa dan anak-anak menimbulkan pelbagai implikasi.

Beliau berkata, ibu bapa menyalahkan anak kerana bersikap kurang ajar, tidak berdisiplin dan melakukan sesuatu yang menyinggung perasaan mereka.

"Ramai ibu bapa kecewa kerana anak tidak mendengar cakap mereka malah sering melawan sehingga menimbulkan suasana tegang.

"Akibatnya, berlaku pertengkaran malah ada ibu bapa yang memulaukan anak-anak mereka kerana marah dengan perbuatan tidak bermoral itu," katanya.

Bagi anak pula, mereka berpendapat ibu bapa terlalu mengongkong, banyak berleter dan tidak memahami mereka.

Justeru, katanya mereka lebih banyak menghabiskan masa bersama rakan di luar daripada duduk di rumah yang dianggap membosankan.

"Konflik ibu bapa dan anak juga sering membawa kepada masalah lain seperti lari dari rumah.

"Jika fenomena itu berterusan, ia akan memberi impak negatif kepada perkembangan anak," katanya.

Bagi mengurai kemelut itu, program Belaian Kasih akan memberi peluang ibu bapa dan pelajar bermaaf-maafan dan menilai kelemahan masing-masing.

"Tiada siapa yang bersalah, mungkin masalah komunikasi, cara menegur atau mendidik malah ada ibu bapa yang menyuruh anak bersolat tetapi mereka masih menonton televisyen.

"Ada ibu bapa yang terlalu ketat peraturannya di rumah sehingga anak menganggap rumah seperti penjara, bukan syurga," katanya.

Katanya, sebagai anak, mereka harus menghormati ibu bapa kerana itu tuntutan agama.

"Selagi ibu bapa tidak menyuruh melakukan sesuatu yang melanggar nilai moral, mereka patut akur dan mematuhi perintah.

"Tiada ibu bapa yang mahu menyakiti atau menyusahkan anak-anak sebaliknya apa yang dilakukan adalah untuk kebaikan mereka dunia dan akhirat," katanya.

Katanya, gunakan program Belaian Kasih itu untuk memohon ampun, memeluk anak-anak dan membelai mereka kerana mungkin sudah lama tidak berbuat demikian.

"Ketika anak masih bayi, kita memeluk dan mencium mereka setiap hari tetapi mengapa apabila mereka menginjak dewasa, ibu bapa tidak melakukan perbuatan yang sama.

"Anak yang sering dipeluk ibu bapa akan lebih menghargai emak ayah mereka malah prestasi dan semangat nya lebih tinggi," katanya.

Sila hubungi talian 03-20569683 (Norsham) pada waktu pejabat, 013-3625292 (Roslan), 012-6905974 (Kadir) dan 013-9668986 (Fadly) untuk maklumat lanjut mengenai Kem Remaja Addin siri 5.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI