Video hujan meteor (tahi bintang) di Russia

Saturday, February 16, 2013

Video hujan meteor melanda bahagian tengah Rusia, sebelum ia meletup.



Satu rakaman televisyen menunjukkan lalu lintas tergendala pagi ini di bandar Urals, Chelyabinsk, ketika kejadian itu, menyebabkan orang ramai berlari menyelamatkan diri untuk berlindung di dalam bangunan.

Sumber perubatan berkata, kira-kira 750 penduduk mendapatkan rawatan, sementera Kementerian Bencana pula mengesahkan perkhidmatan komunikasi telefon selular tergendala buat sementara.

"Ketulan meteor tersebut bersepai di atas kawasan pergunungan tengah Rusia, Urals, dengan separuh daripadanya terbakar pada bahagian atmosfera.

"Serpihan meteor itu jatuh ke Bumi, di kawasan yang kurang penduduk di wilayah Chelyabinsk," kata pejabat kementerian itu melalui satu kenyataan.

Tingkap-tingkap bangunan pecah akibat gegaran yang berlaku dengan kira-kira 300 bangunan dilaporkan rosak, termasuk sekolah, hospital dan bangunan kilang serta stadium hoki ais.

"Pada kira-kira pukul 9.20 pagi (0320 GMT) satu objek kelihatan di ruang udara pekan Chelyabinsk yang terbang dengan kelajuan yang kuat dan membentuk ekor asap. Selang beberapa minit kedengaran bunyi dua letupan," kata seorang pegawai kecemasan, Yuri Burenko dalam satu kenyataan.

Pegawai-pegawai kementerian berkata, sebahagian meteor itu jatuh 80 kilometer dari pekan Satki, kira-kira 100 kilometer dari barat bandar wilayah itu.

Sekolah-sekolah ditutup sepanjang hari di wilayah itu, selepas serpihan tersebut menyebabkan cermin bangunan pecah dan suhu di bahagian tengah Rusia jatuh kepada -18 celsius.

Jabatan polis tempatan berkata, kebanyakan mangsa yang cedera mengalami luka kecil dan lebam akibat terkena kaca yang pecah.

Wilayah Chelyabinsk merupakan kawasan industri utama di tengah Rusia, dipenuhi dengan kilang-kilang dan kemudahan lain termasuk loji kuasa nuklear serta pusat penyimpanan dan merawat sisa atom Mayak.

Sementara itu, jurucakap Rosatom, syarikat tenaga nuklear Rusia berkata, operasi loji mereka tidak terjejas dengan kejadian itu. - AFP

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI