Khasiat madu lebah kelulut

Thursday, January 03, 2013

Menyingkap khasiat madu lebah kelulut
Sejak berzaman lagi, madu sudah terkenal sebagai bahan untuk penjagaan kesihatan dan ia disyorkan sebagai makanan tambahan berdasarkan khasiatnya yang tidak ternilai. Malah ia dianggap sebagai ibu segala makanan, minuman dan ubatan.

Di Malaysia, ramai tidak tahu bahawa selain madu dari spesies lebah Apis (lebah tualang), madu yang dihasilkan dari lebah spesies Trigona iaitu lebah kelulut adalah lebih berkhasiat.

Presiden Persatuan Penternak, Penyelidik dan Pemasaran Hasilan Lebah (PERLEBAH) Negeri Kelantan, Razip Ibrahim, berkata berbanding madu lebah spesies Apis, nilai perubatan lebah kelulut adalah lebih tinggi.

Khasiat tinggi

"Kajian sedang dijalankan Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian, Kelantan mengenai khasiat madu kelulut ini, namun secara tradisionalnya ia didakwa dua kali ganda lebih berkhasiat berbanding madu lebah biasa.

"Seperti khasiat madu lebah biasa, madu kelulut ini juga mampu meningkatkan metabolisma badan, selain merawat pelbagai penyakit dalaman serta kecederaan luaran," katanya ketika ditemui di ladang ternakan kelulut di Kampung Petani, Sering, Kelantan, baru-baru ini.

Kelulut adalah sejenis serangga, mirip lebah bersengat dengan ukuran antara tiga hingga lapan milimeter dari keluarga Apidae iaitu sejenis lebah yang menghasilkan manisan dan lebih dikenali dengan 'stingless bee' iaitu lebah tidak menyengat.

Mengikut satu kajian, ada kira-kira 150 jenis lebah kelulut di dunia dengan Indonesia mempunyai 37 spesies, Thailand (20), Myanmar (sembilan), Vietnam (lapan), India (tiga) dan Taiwan (satu), manakala Malaysia 33 spesies.

Atasi masalah pencernaan

Kelulut menghasilkan madu, propolis dan bee bread (roti lebah) iaitu campuran antara pollen dengan madu, air liur dan cairan dari perut lebah, yang berkhasiat mengatasi masalah pencernaan dan fermentasi.

Madu kelulut berbeza dari madu lebah biasa kerana rasanya sedikit masam dan warnanya lebih cerah dan menurut satu kajian, madu kelulut tidak mudah berbuih kerana kandungan propolisnya bersifat antifermentasi semula jadi.

Razip berkata, permintaan terhadap madu kelulut kini semakin meningkat, namun pengusaha gagal memenuhi permintaan disebabkan pengeluarannya amat rendah kerana lebah jenis itu hanya mampu menghasilkan 200 gram sebulan untuk setiap rumah atau sarang, bergantung kepada spesies dan musim.

Dianggarkan satu kantung iaitu tempat memproses manisan bunga menjadi madu dalam sarang hanya mampu menghasilkan antara 10 hingga 15 mililiter madu, menyebabkan harganya mahal. Setiap 300 gram madu kelulut dijual pada harga RM30 sebotol.

~ BH

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI